EKONOMI

Malaysia Berusaha Kekalkan Hubungan Baik Dengan AS - Amir Hamzah

26/04/2025 08:32 AM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) - Malaysia akan terus berusaha mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

"Malaysia sentiasa menjadi rakan ekonomi yang baik kepada AS. Itulah sebabnya AS sentiasa menjadi antara pelabur asing tertinggi Malaysia di negara ini"

"Kami menyediakan persekitaran yang membantu syarikat AS berkembang maju di Malaysia. Intel telah berada di Malaysia sejak 1971. (Syarikat lain telah) berada di Malaysia lebih lama, (ada sebahagian) malahan sudahpun berada sejak merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang bagaimanakah bentuk hubungan ekonomi AS-Malaysia yang positif di bawah Pentadbiran Presiden Donald Trump tanpa perang perdagangan global semasa Forum Kepimpinan ASEAN oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang diadakan di Washington,AS. Amerika Syarikat.

"Jadi, apa yang kami mahukan adalah, keupayaan untuk kami mengekalkan hubungan ini. Wujudkan mekanisme yang menyediakan peluang yang sama rata kepada kedua-dua pihak agar boleh berkembang,  boleh bersaing bersama-sama, untuk menyepadukan apa yang mereka ada di Malaysia ke dalam rantaian bekalan global mereka. Itu adalah hasil yang hebat," katanya.

Amir Hamzah berkata beliau percaya persefahaman dan pendekatan bersama itu boleh dilakukan kerana kedua-dua negara sentiasa saling menghormati perkongsian yang telah terjalin.

"Saya fikir kita boleh terus mengekalkan pendekatan itu kerana kedua-dua pihak melayan antara satu sama lain dengan rasa hormat. Kedua-dua pihak berusaha untuk mencapai hasil yang sama," katanya.

Beliau menekankan kepentingan untuk memberi tumpuan kepada bagaimana untuk mengembangkan lagi kemakmuran ekonomi dan bukannya terlibat dalam perbalahan untuk mengasing-asingkan pasaran.  

Pendekatan sebegitu akan menambahkan sedikit nilai, katanya.

Mengenai hubungan yang telah lama terjalin antara Putrajaya dan Washington, Amir Hamzah berkata sejarah yang dikongsi bersama itu telah membolehkan kedua-dua pihak saling bekerjasama untuk mengembangkan lagi ekonomi.

Mengenai pendekatan Malaysia terhadap tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan AS, Amir Hamzah berkata Malaysia telah pun memulakan perbincangan dengan AS tentang perkara tersebut.

"Kami telahpun mengadakan perbincangan pertama kami dengan mereka dan ia diterima dengan cukup baik. Seterusnya adalah melaksanakan beberapa lagi langkah selepas ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa perjanjian dua hala akan mengambil sedikit masa.

“Untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan, akan mengambil sedikit masa bagi menyelesaikan perkara teknikal, namun ia bermula dengan perbincangan pertama dan prinsip pertama, dan kemudiannya meneruskan dialog untuk merapatkan jurang," katanya.

Pada 24 April lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz telah mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer serta Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick di Washington, DC.

MITI menerusi satu kenyataan selepas mesyuarat tersebut berkata Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan AS bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama berhubung tarif timbal balik yang diumumkan oleh pentadbiran Trump.

Malaysia telah menyatakan keterbukaannya untuk berunding dengan AS mengenai empat bidang utama, iaitu mengurangkan defisit perdagangan; menangani halangan bukan tarif; mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi; dan meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan