AM

Peniaga Simpan Air Awal, Premis Makanan Beroperasi Seperti Biasa

26/04/2025 05:17 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 April (Bernama) -- Peniaga, terutama dalam sektor makanan dan minuman di Pulau Pinang yang mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama empat hari bermula semalam, telah mengambil langkah awal bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Tinjauan Bernama mendapati mereka meneruskan perniagaan kedai makan dan restoran masing-masing dengan menyediakan simpanan air sejak seminggu lepas termasuk menggunakan air mineral untuk memasak manakala pengusaha kedai mencuci kenderaan pula menutup sementara perniagaan kerana tidak dapat menampung keperluan bekalan air.

Seorang pemilik restoran di Seberang Jaya Shamsul Munir Safini, 41, berkata dia meneruskan operasi restorannya dan telah bersiap sedia dengan bekalan air sejak minggu lepas lagi bagi memastikan pelanggan menjamu selera.

Katanya, berdasarkan pengalaman gangguan bekalan air yang berlaku pada Januari tahun lepas, dia dan pekerja telah mengambil beberapa langkah awal termasuk menadah air, menyediakan air mineral serta perkakasan plastik untuk kegunaan di premisnya.

“Seperti Januari tahun lepas, selepas 24 jam bekalan air telah ada, jadi saya harap kali ini pun sama, namun kami telah bersiap sedia lebih awal sebab memang merancang untuk membuka restoran sepanjang tempoh empat hari gangguan bekalan air.

“Selain air mineral, saya turut sediakan pinggan, cawan dan mangkuk plastik sebagai persiapan tambahan. Setakat ini, kami menggunakan pinggan, mangkuk dan cawan yang ada kerana masih ada bekalan air,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemilik restoran Warung D'Kole di Sungai Bakap, dekat sini Mohamad Halim Abdul Wahab, 54, berkata kawasan premisnya dijangka mengalami gangguan bekalan air lebih 48 jam, namun dia juga telah membuat persiapan rapi yang sama dan meneruskan perniagaan seperti biasa.

Dia mengambil keputusan untuk membuka restorannya kerana pelanggan memilih untuk datang makan di situ berikutan rumah mereka juga mengalami gangguan bekalan air.

“Selepas mengalami gangguan air awal tahun lepas dan makluman awal berhubung SWSI ini, saya telah buat persiapan sewajarnya termasuk membeli 10 tong besar untuk mengisi air, air mineral dan juga pinggan, cawan serta mangkuk plastik. Sarung tangan plastik turut disediakan kepada mereka yang ingin makan menggunakan tangan,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik kedai mencuci kenderaan, M. Siva, 52, berkata dia menutup operasi premisnya kerana kerja-kerja mencuci kenderaan memerlukan bekalan air yang banyak dan hanya akan membukanya semula selepas bekalan air telah pulih.

“Kita cuti sehari dua dulu, sudah ada bekalan air baru saya buka, lagipun di rumah saya di Sungai Bakap juga tiada air, tetapi kami dah simpan bekalan sejak tiga hari lepas. Saya juga beli air mineral untuk kegunaan isteri memasak," katanya yang tinggal bersama ibu, isteri serta dua anak mereka.

Menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kesemua pasar dan kompleks makanan kendalian pihak berkuasa tempatan itu dilengkapkan dengan tangki air berkapasiti 2,271 liter dan dipantau dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan dalam kenyataan memaklumkan kesemua 23 projek kerja air yang dilaksanakan di bawah SWSI yang bermula pada 10 malam tadi dijangka siap sepenuhnya petang ini.

Beliau berkata kemajuan kerja itu mencapai 85 peratus selepas 19 daripada 23 projek siap setakat 10.30 pagi tadi dan empat projek berkenaan ialah projek utama membabitkan penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) berdiameter 1.35 meter (m) di Ampang Jajar, Seberang Perai Tengah dengan status kerja mencapai 46 peratus.

Selain itu, katanya projek kedua ialah penyambungan akhir SP-RCP berdiameter 1.35 m di Kampung Teluk, Seberang Perai Utara yang mencapai 30 peratus.

“Seterusnya, kerja penggantian injap 1.2 m pada saluran paip 1.2 m di Jalan Pengkalan Tambang berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) dan lencongan bahagian saluran paip air diameter 0.9 m di Kompleks Majlis Sukan Negeri Batu Uban, daerah Barat Daya, masing-masing kemajuan kerja mencapai 90 hingga 95 peratus," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan