AM

Keganasan Di Palestin: MAPIM Utus Surat Kepada Tiga Kuasa Besar Dunia

26/04/2025 05:24 PM

SHAH ALAM, 26 April (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menghantar surat kepada tiga pemimpin kuasa besar dunia iaitu China, Rusia dan India minggu lepas berhubung nasib rakyat Palestin.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata usaha itu satu daripada inisiatif MAPIM untuk mengajak ketiga-tiga negara berkenaan mendesak rejim Zionis menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

"Inti pati surat berkenaan sudah tentu fokus kepada nasib rakyat Gaza yang semakin meruncing, MAPIM merasakan isu Palestin memerlukan campur tangan China, Rusia dan India kerana suara mereka mampu menggentarkan Israel dan Amerika Syarikat.

"Mereka perlu memainkan peranan untuk sentiasa memberi tekanan, paling tidak mendesak sempadan Rafah dibuka untuk membolehkan bantuan makanan dan perubatan dapat dihantar masuk," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Minggu lepas MAPIM telah menghantar surat kepada tiga pemimpin kuasa besar atas nama Presiden China Xi Jinping, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden India Narendra Modi berhubung isu Palestin.

Sementara itu, Mohd Azmi memaklumkan MAPIM merancang untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju bantuan dari Malaysia kepada Palestin.

"Usaha Mesir memberi tekanan kepada Israel dan Amerika Syarikat sebelum ini telah menunjukkan tanda-tanda positif apabila pintu masuk Rafah akan dibuka, oleh itu perkara berkenaan juga akan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk menyuarakan sokongan.

"Setakat ini, 500 trak bantuan MAPIM masih terkandas di Rafah tidak termasuk 50 kontena berisi bantuan makanan, perubatan, khemah dan banyak lagi yang terlebih dahulu sampai di Mesir," katanya.

Terdahulu, Mohd Azmi menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan menyampaikan ucapan dasar Mesyuarat Agung Tahunan Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) Kali Ke-5 di Masjid Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini.

Lebih 50 peserta menyertai forum yang menyentuh senario sosiogeopolitik tanah air khususnya apabila negara berdepan krisis budaya fikir dalam kalangan pemimpin dan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan