DUNIA

PRU Singapura 2025: Parti Politik Pergiat Kempen Akhir, Pengundi Ambil Kira Isu Semasa

01/05/2025 09:01 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 1 Mei (Bernama) -- Dengan hanya beberapa hari sebelum hari pengundian, parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (GE2025) kini menggandakan usaha untuk menarik sokongan lebih 2.75 juta pengundi berdaftar.

Sejak kempen bermula selepas penamaan calon pada 23 April, parti-parti dan calon melaksanakan pelbagai bentuk pendekatan — termasuk lawatan rumah ke rumah, sesi turun padang, penyertaan dalam podcast, siaran khas parti politik, kempen media sosial, serta kembalinya ceramah fizikal yang dinanti-nantikan, selepas kali terakhir diadakan pada PRU 2015.

Ceramah umum yang berlangsung pada waktu tengah hari (12 tengah hari hingga 3 petang) dan malam (7 malam hingga 10 malam) menarik kehadiran yang ramai.

Parti Pekerja (WP) khususnya mencatatkan kehadiran besar, dengan lokasi ceramah mencapai kapasiti maksimum sekurang-kurangnya dua malam berturut-turut.

Acara itu turut disiarkan secara langsung di platform media sosial, termasuk oleh media arus perdana dan menarik jumlah tontonan dalam talian yang tinggi.

Penasihat utama Pacific Research Centre of Malaysia, Dr Oh Ei Sun berkata media sosial digunakan untuk penyebaran propaganda politik sejak sebelum tempoh rasmi kempen, dan kali ini pembangkang dilihat mempunyai akses lebih luas kepada media arus perdana.

“Masih belum dapat dipastikan sama ada semua ini akan memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya,” katanya kepada Bernama.

Tempoh bertenang akan bermula pada tengah malam 2 Mei hingga tamat waktu pengundian, dan sebarang bentuk kempen adalah dilarang sepanjang tempoh itu.

Polis Singapura meluluskan 11 permit ceramah untuk enam parti dan seorang calon bebas pada hari terakhir kempen, 1 Mei.

Isu-isu utama seperti kos sara hidup, perumahan, jaminan pekerjaan serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi tumpuan utama dalam ucapan ceramah.

Sesekali, kritikan tajam terhadap parti lawan dan calon menambah unsur dramatik dalam wacana politik yang lazimnya tenang di Singapura.

Helmi, 60, pengundi di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Tanjong Pagar yang mempertandingkan lima kerusi, berkata rakyat Singapura lazimnya bersikap pragmatik dalam membuat keputusan mengenai masa depan negara dan anak-anak mereka.

Beliau dan isterinya, Angela, mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri ceramah, menyifatkannya sebagai peluang yang tidak wajar dilepaskan untuk merasai denyut nadi kempen serta mendengar sendiri ucapan calon.

“Isu kos sara hidup memang nyata kerana saya terlibat dalam kerja sosial dan melihat sendiri masih ada segelintir orang yang bergelut.

"Walaupun majoriti mungkin mampu menampung kos sara hidup dan inflasi dalam jangka pendek, kita tidak boleh lupakan golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai keupayaan itu.

“Saya akan memilih calon yang saya percaya akan membela nasib mereka,” katanya, sambil menambah bahawa beliau telah pun membuat keputusan menjelang hari pengundian pada 3 Mei ini.

Sebaliknya, Bala dan Merchan masih belum membuat keputusan.

Kedua-duanya bekerja dalam sektor kewangan dan menyatakan bahawa calon, parti serta manifesto adalah sama penting dalam menentukan pilihan mereka.

“Saya belum baca semua manifesto, tetapi saya ikuti semua laporan media,” kata Bala yang mengutamakan isu jaminan pekerjaan.

Bagi Merchan pula, keutamaan adalah memastikan "Singapura kekal seperti yang ada hari ini,” khususnya dari segi ekonomi.

Rakyat Singapura akan mengundi pada Sabtu ini bagi memilih 92 daripada 97 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Satu kejutan berlaku apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi lima kerusi di GRC Marine Parade–Braddell Heights tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

Secara keseluruhan, 206 calon daripada 11 parti politik dan calon bebas bertanding di baki kerusi yang melibatkan 32 kawasan, merangkumi 17 GRC dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Menurut Dr Oh, tumpuan pastinya akan terarah kepada GRC East Coast — yang menyaksikan kemenangan tipis PAP pada PRU2020 — serta beberapa SMC baharu, untuk melihat sama ada pembangkang mampu menambah kerusi susulan ketiadaan mereka di GRC Marine Parade–Braddell Heights yang mengejutkan ramai pihak.

Satu lagi kawasan tumpuan ialah GRC baharu, Punggol dengan empat kerusi dan akan menyaksikan saingan satu lawan satu antara pasukan PAP yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dan barisan baharu WP termasuk peguam Harpreet Singh dan Siti Alia.

GRC Tampines (lima kerusi) menampilkan saingan antara dua tokoh Melayu-Islam – Menteri Hal Ehwal Masyarakat Islam dari PAP Masagos Zulkifli dan wakil WP Faisal Abdul Manap – juga dijangka mendapat perhatian.

Turut menjadi tumpuan ialah Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan yang telah lama berkecimpung dalam arena politik negara itu sejak 1992 dan kali ini bertanding di SMC Sembawang Barat yang baru diwujudkan.

Dalam pilihan raya lepas, PAP memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen, manakala baki 10 lagi kerusi dimenangi oleh WP.

Pusat pengundian akan dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam pada hari pengundian, dan keputusan dijangka mula diumumkan selepas 10 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan