SUKAN

Skuad Boling Padang Dinasihat Jangan Terlalu Selesa

06/05/2025 12:59 AM

SEPANG, 5 Mei (Bernama) -- Skuad boling padang negara dinasihatkan supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian mempertahankan gelaran juara keseluruhan di Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 & ke-14 Bawah 25 tahun 2025 yang berlangsung di Clark, Filipina baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata meskipun pihaknya berbangga dengan kejayaan itu namun beliau berpendapat pemain negara perlu berusaha lebih keras, terutama dalam persiapan menghadapi Piala Dunia di Hong Kong November ini, dan Sukan Komanwel Glasgow tahun hadapan.

“Saingan Piala Dunia dan Sukan Komanwel sudah tentu berbeza berbanding Piala Asia ini. Dekat sana nanti sudah pasti ada lawan lebih hebat yang rata-rata adalah daripada pasukan terbaik dunia.

“Malah, saya difahamkan juga venue bagi Sukan Komanwel berbeza daripada yang kita gunakan semasa sesi latihan. Jadi saya harap pemain akan berusaha lebih gigih bagi memastikan mereka bersedia untuk Sukan Komanwel dan Piala Dunia nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan pemain boling padang negara di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA 2) di sini hari ini.

Sebelum ini, skuad negara menamatkan kempen Kejohanan Boling Padang Asia dengan pungutan pingat yang membanggakan apabila meraih tujuh emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus mengukuhkan status Malaysia selaku kuasa besar boling padang di rantau Asia.

Tujuh pingat emas itu diperoleh menerusi acara berpasukan lelaki (pairs, triples dan fours), berpasukan wanita (perseorangan dan pairs) serta pasukan B-25 (perseorangan wanita dan beregu campuran).

Dalam pada itu, Awalan berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mempertimbangkan pemberian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara pada kejohanan itu.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan