DUNIA

Pemimpin Dunia Ucap Tahniah Kepada Paus Leo XIV Atas Pemilihannya

09/05/2025 05:38 PM

MOSCOW, 9 Mei (Bernama-Sputnik/RIA Novosti/Anadolu) -- Pemimpin kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Itali dan Belanda mengucapkan tahniah kepada Kardinal AS dan "Prefect of the Dicastery for Bishops", Robert Francis Prevost atas pemilihannya sebagai paus baharu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Paus baharu itu memilih nama Leo XIV. Beliau merupakan paus pertama dari Amerika Syarikat yang memegang jawatan tertinggi gereja Roman Katolik itu.

"Sungguh mengujakan dan satu penghormatan besar buat negara kita.

“Saya berharap dapat bertemu dengan Paus Leo XIV. Ia akan menjadi satu detik yang sangat bermakna!” tulis Trump di Truth Social, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni menerusi hantaran di platform X berkata: “Saya merakamkan ucapan tulus ikhlas kepada Paus Leo XIV sempena permulaan kepausan beliau. Pada saat dunia dilanda konflik dan kebimbangan,  ucapan beliau dari balkoni Basilika St. Peter merupakan seruan yang kuat untuk keamanan, persaudaraan dan tanggungjawab,” katanya.

Perdana Menteri Kanada Mark Carney pula menyatakan harapan agar Paus Leo XIV meneruskan jalan perpaduan, belas kasihan dan maruah dalam era cabaran global.

“Pemilihan Paus Leo XIV adalah detik kegembiraan yang mendalam bagi penganut Katolik di United Kingdom dan seluruh dunia serta membuka lembaran baharu bagi kepimpinan Gereja dan dunia ... Saya tidak sabar untuk bertemu beliau dan terus bekerjasama rapat dengan Gereja Katolik di UK serta di peringkat antarabangsa untuk memajukan nilai bersama dan kebaikan bersama,” kata Perdana Menteri UK Keir Starmer di platform X.

Perdana Menteri Belanda Dick Schoof turut mengucapkan tahniah kepada Paus Leo XIV atas pemilihannya, sambil menyifatkan ia sebagai detik istimewa bagi komuniti Katolik global dan seterusnya.

Venezuela juga mengutus ucapan tahniah rasmi kepada Paus Leo XIV, dengan menyatakan harapan agar tempoh kepausan beliau meneruskan agenda keadilan sosial dan dialog antara agama, menurut Menteri Luar Yvan Gil.

Presiden Colombia Gustavo Petro dalam reaksinya mengenai pemilihan Paus Leo XIV, menyatakan harapan bahawa paus akan menjadi suara yang kuat dalam mempertahankan hak migran dan alam sekitar.

“Tahniah kepada Leo XIV, yang telah dipilih oleh Kolej Kardinal sebagai ketua negara Vatican City dan pemimpin rohani Gereja Katolik. Saya menegaskan solidariti kemanusiaan kami demi keamanan dan kemakmuran dunia,” kata Presiden Mexico Claudia Sheinbaum.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pula berharap agar Paus Leo XIV, seperti Paus Francis, terus memperjuangkan agenda keamanan dan keadilan sosial.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres turut mengucapkan tahniah kepada Paus Leo XIV atas pemilihannya dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama.

Sementara itu, Pergerakan Palestin Hamas juga menyatakan harapan agar Paus Leo XIV “terus mengekalkan pendekatan moral menyokong golongan tertindas, mengambil tindakan tegas di pentas antarabangsa untuk menghentikan genosid dan pembersihan etnik yang dilakukan oleh pendudukan Zionis terhadap kanak-kanak, wanita dan orang awam tidak bersenjata di Gaza, serta menamatkan pelanggaran sistematik terhadap tapak suci Islam dan Kristian di Palestin.”

-- BERNAMA-AGENSI

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan