DUNIA

Robert Prevost Dipilih Sebagai Paus Baharu, Pilih Nama Leo XIV

09/05/2025 05:46 PM

LONDON, 9 Mei (Bernama-Anadolu) -- Robert Prevost, seorang kardinal berusia 69 tahun dari Chicago telah dipilih pada Khamis sebagai paus baharu – menjadi rakyat Amerika pertama yang memegang jawatan tertinggi gereja Roman Katolik itu.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), beliau akan menggunakan nama Paus Leo XIV, menandakan kali pertama nama itu digunakan sejak abad ke-19.

Paus yang baharu dipilih itu muncul di balkoni utama Basilika St. Peter untuk menyampaikan ucapan sulungnya sebagai ketua Gereja Roman Katolik.

Pemilihan Prevost mencerminkan latar belakangnya dari Amerika dan hubungan rapatnya dengan Amerika Latin khususnya Peru, tempat beliau berkhidmat selama bertahun-tahun sebagai mubaligh sebelum dilantik menjadi uskup agung.

Beliau mempunyai dua kewarganegaraan - Amerika Syarikat dan Peru - dan dikenang atas komitmennya terhadap komuniti terpinggir serta usahanya memupuk perpaduan dalam gereja tempatan.

“Bersama-sama, kita mesti mencari jalan bagaimana menjadi sebuah gereja yang membina jambatan, mengadakan dialog dan terbuka menerima semua orang,” katanya kepada orang ramai.

Dilahirkan di Chicago pada 1955, Prevost ditahbiskan sebagai paderi pada 1982 selepas bergiat aktif sebagai pembantu altar ketika muda. Sebagai ahli Ordo Augustinian, beliau berpindah ke Peru pada usia 30 tahun untuk menjalankan misi bagi pihak ordo berkenaan.

Dedikasinya membawa kepada pelantikan sebagai Uskup Chicago oleh Paus Francis, setahun selepas Francis memegang jawatan paus.

Dengan 80 peratus kardinal dalam konklaf dilantik oleh Francis, pemilihannya dilihat sebagai kesinambungan kepada laluan reformasi yang dirintis oleh bekas paus itu.

Hubungan Leo XIV dengan Amerika Latin serta pendekatan pastoralnya dianggap meneruskan legasi Francis.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan