SIBU, 13 Mei (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memuji sumbangan berterusan Rimbunan Hijau Group (RH Group) kepada ekonomi negeri dan negara serta penjajaran kukuhnya dengan wawasan Sarawak untuk pertumbuhan mampan dan inklusif.
Beliau mengiktiraf peranan kumpulan itu dalam membentuk landskap ekonomi Sarawak selama beberapa dekad, bukan sahaja dalam bidang perniagaan, malah dalam penciptaan peluang pekerjaan, pemerkasaan komuniti dan memartabatkan keupayaan Sarawak di peringkat global.
"RH Group yang berakar umbi di Sarawak, telah berkembang maju dengan mencipta pelbagai peluang untuk rakyat kita serta memberi impak kepada kesejahteraan keluarga di seluruh negara.
“Anda bukan sahaja membina sebuah empayar perniagaan yang berjaya, tetapi turut membina kehidupan dan masa depan untuk ramai individu,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian semasa pelancaran rasmi latar depan baharu dan pengubahsuaian dalaman Menara Rimbunan Hijau sempena sambutan Jubli Emas ke-50 kumpulan itu di sini hari ini.
Abang Johari dalam pada itu turut mengiktiraf syarikat tersebut sebagai rakan strategik utama dalam menyokong dasar kerajaan, khususnya berkaitan kemampanan sosial dan pembangunan komuniti.
Mengenai pengubahsuaian bangunan tersebut, beliau berkata ia bukan sekadar transformasi fizikal, malah menjadi simbol komitmen berterusan RH Group terhadap inovasi, kemajuan dan kecemerlangan dalam dunia perniagaan serta pembangunan negara.
“Saya berbesar hati melihat RH Group memainkan peranan aktif dalam perjalanan ini melalui pelaburan semula dan pemodenan berterusan, yang mencerminkan momentum pembangunan yang sedang kita bangunkan di seluruh Sarawak,” katanya.
Menekankan aspirasi Sarawak untuk menjadi kuasa besar tenaga bersih ASEAN, Abang Johari turut menyentuh rancangan untuk menjana sehingga 15 gigawatt tenaga boleh baharu menjelang tahun 2035, merangkumi sumber hidro, solar dan hidrogen.
Beliau turut memuji RH Group kerana sejajar dengan agenda ekonomi hijau negeri.
“Naik taraf berwawasan oleh RH Group mencerminkan nilai kemampanan dan tanggungjawab yang sedang kita galakkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial