AM

Dana Perkhidmatan Pos Ditubuh, Pastikan Kelestarian Dan Kesinambungan Perkhidmatan - Fahmi

09/10/2025 06:24 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memuktamadkan proses untuk menyalurkan dana sebanyak RM50 juta bagi penubuhan Dana Perkhidmatan Pos.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata selaras dengan komitmen Malaysia sebagai anggota Kesatuan Pos Sedunia (UPU), dana pendahuluan yang akan diselia Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) itu disediakan bagi memastikan kelestarian dan kesinambungan perkhidmatan di seluruh negara, terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata Dana Perkhidmatan Pos adalah inisiatif strategik bagi menyokong transformasi sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing dalam era komunikasi dan e-dagang.

“Atas dasar Obligasi Perkhidmatan Sejagat, dana ini akan disalur dan dirangkum sekali dengan perkhidmatan kurier untuk memastikan tunjang perkhidmatan Pos Malaysia kekal kukuh dalam berdepan cabaran 50, 70 atau 100 tahun akan datang.

“Kita percaya inisiatif ini akan dapat membantu Pos Malaysia seiring komitmen dan usaha berterusan mereka dalam mentransformasi industri dan perkhidmatan penghantaran yang dijalankan,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena Hari Pos Sedunia 2025 di Pusat Mel Nasional di sini hari ini.

Fahmi berkata Dana Perkhidmatan Pos bertujuan mengekalkan penyediaan perkhidmatan pos asas kepada rakyat tanpa sebarang gangguan selaras dengan keperluan Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741).

Beliau berkata transformasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia sejak tahun 2021 menunjukkan hasil yang memberangsangkan, dengan prestasi penghantaran sehari untuk bungkusan meningkat kepada lebih 90 peratus berbanding hanya 50 peratus pada 2021.

"Pos Malaysia juga merekodkan pencapaian 93 peratus penghantaran mel tepat pada masanya selain kadar kepuasan pelanggan terkemuka dalam industri sebanyak 91 peratus berbanding purata industri 82 peratus," katanya. 

Fahmi berkata Pos Malaysia juga telah melangkah ke fasa baharu transformasi dengan melaksanakan beberapa ujian model perniagaan baharu atau pembuktian konsep (POC) yang bermula pada suku keempat tahun ini.

“Langkah ini merupakan usaha syarikat untuk menangani cabaran struktur yang semakin mendesak termasuk kemerosotan jumlah mel, penurunan kunjungan pelanggan ke pejabat pos dan persaingan sengit dalam pasaran bungkusan. 

“Kita berharap transformasi ini membawa manfaat bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga kepada kakitangan dan semua pelanggan,” katanya.

Mengenai pelancaran Redly Pos Malaysia International, atau Redly, Fahmi berkata pelancaran jenama antarabangsa baharu itu akan memastikan semua perkhidmatan penghantaran dan pos antarabangsa disatukan di bawah identiti tunggal yang kukuh dan konsisten. 

Beliau berkata inisiatif itu akan menghubungkan pelanggan dan perniagaan Malaysia dengan dunia sekali gus membawa peluang global lebih dekat kepada rakyat.

Pada majlis itu, Fahmi yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar turut meluangkan masa meninjau operasi pusat mel berkenaan sambil beramah mesra dengan kakitangan yang bertugas.

Turut serta Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Abdul Karim Fakir Ali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan