KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 memaparkan usaha menseimbangkan penyatuan fiskal dengan elemen seperti kesaksamaan dan daya saing, demikian menurut beberapa ahli Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW).
“(Langkah) daripada rasionalisasi subsidi, pembaharuan cukai hingga insentif perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta tadbir urus, membuktikan kredibiliti fiskal Malaysia itu yang pada akhirnya bergantung kepada pelaksanaan secara telus dan berkesan,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memetik ahli-ahli ICAEW iaitu David Lai dan Tan Chin Teck daripada BDO Malaysia, Kevin Foo dan Elliot Chaw (KPMG Malaysia) serta Chong Yen Ting (Scatec Solar).
Lai yang juga Ketua Penasihat Cukai BDO Malaysia menyifatkan rasionalisasi subsidi sebagai tidak dapat dielakkan dari segi fiskal, namun memerlukan penambahbaikan dari segi sistem penyampaiannya.
Beliau turut mengingkatkan tindakan yang hanya bergantung kepada data Pusat Pangkalan Data Utama Malaysia (PADU) yang menyatukan aspek pendapatan dan demografi rakyat bagi memastikan ketepatan subsidi bersasar, sebaliknya boleh tersasar apabila menyebabkan isi rumah yang layak, terkeluar.
Sehubungan itu, Lai mencadangkan agar menumpukan langkah gabungan data e-invois, pendapatan dan perbelanjaan lebih wajar bagi memastikan penyasaran subsidi yang lebih adil.
Dalam pada itu, Foo yang juga Ketua Perkhidmatan Kewangan KPMG pula menyifatkan tindakan pelaksanaan belanjawan berdasarkan hasil dan integrasi data merentasi kementerian-kementerian akan mengukuhkan ketelusan fiskal, mengurangkan pertindihan serta memastikan setiap ringgit dapat menyampaikan impak yang dapat diukur.
Bagi aspek sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan inovasi, Lai berkata menghubungkait projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan insentif Industry4WRD dengan rantaian bekalan tempatan dapat mencetuskan kesan pengganda serta memperluas manfaat pelaburan asing.
Foo pula berpendapat Malaysia perlu melaksanakan pentadbiran “cukai pintar" dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), Sistem Pelaporan Perniagaan Malaysia (MBRS) dan e-Invois bagi meningkatkan pematuhan, mengurangkan beban audit selain turut menambah baik pengalaman pembayar cukai melalui borang diisi awal serta pemprofilan risiko unjuran.
Langkah mempercepat penggunaan aset digital dan teknologi kewangan (fintech) dengan petunjuk dasar lebih jelas dapat membantu Malaysia muncul sebagai hab kewangan antarabangsa yang berdaya saing, katanya.
Sementara itu, Chong yang juga pengurus kanan aset Scatec Solar berkata Belanjawan 2026 hanya mengukuhkan lagi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan anggaran rancangan pelaburan RM60 bilion serta menyokong pelaksanaan Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga 2024 dan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025.
Menurutnya, pelaksanaan rangka kerja cukai karbon secara berperingkat misalnya, boleh dimulakan dengan menyasarkan pelepasan ketara dan disertakan dengan elaun cukai pelaburan hijau serta mempercepat tuntutan elaun bagi naik taraf tenaga boleh baharu dan aspek infrastruktur kenderaan elektrik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial