EKONOMI

Malaysia Berada Di Landasan Kukuh, Sasar Capai KDNK Antara 4-4.5 Peratus Pada 2026 - Menteri Kewangan II

11/10/2025 02:04 AM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2026 dibuat dengan mengambil kira persekitaran ekonomi dunia yang sedikit perlahan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia dilihat berada di landasan lebih kukuh berbanding negara-negara lain

“Justeru, sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 4.5 peratus adalah angka yang memberangsangkan dan mampu memudahkan usaha kita untuk terus membangunkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2026 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata walaupun bayaran dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada kerajaan Malaysia dijangka lebih rendah pada 2026 berbanding tahun sebelumnya, ia tidak menjejaskan peruntukan kerajaan untuk menghasilkan Belanjawan 2026.

Menurut laporan media, syarikat minyak dan gas nasional itu dijangka membayar dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan tahun depan, lebih rendah berbanding RM32 bilion pada tahun sebelumnnya.

Amir Hamzah berkata penurunan harga minyak dunia akan memberi kesan kepada bayaran dividen kepada kerajaan.

"Apa yang penting untuk kita ialah Petronas terus mempunyai dana mencukupi untuk membangunkan industri petroleum di dalam dan luar negara supaya pulangannya (keuntungan) dapat pulang ke Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan