KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan 'Lemon Law' melalui pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999 mencerminkan komitmen serius untuk memperkukuh hak pengguna serta meningkatkan keberkesanan mekanisme perlindungan pengguna sedia ada.
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata persatuan itu menyokong penuh cadangan kerajaan memandangkan mereka telah lama memperjuangkan undang-undang berkenaan.
“Tidak dapat dinafikan pengguna Malaysia kini semakin sedar tentang hak mereka apabila membeli barangan atau kenderaan yang mengalami kerosakan berulang kali.
Walaupun kesedaran itu semakin meningkat, hak mereka masih sering diketepikan dan tidak dilindungi sepenuhnya. Kami berharap pelaksanaan Lemon Law dapat melindungi hak pengguna, khususnya mereka yang membeli kenderaan baharu,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, banyak kes dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna, namun keputusan masih cenderung memihak kepada pengeluar atas alasan produk boleh terus dibaiki walaupun mengalami kerosakan yang sama tiga kali atau lebih.
“Pengguna memerlukan mekanisme undang-undang seperti Lemon Law yang benar-benar melindungi kepentingan mereka serta memastikan pengeluar bertanggungjawab terhadap produk yang gagal memenuhi standard kualiti yang dijanjikan,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memasukkan elemen Lemon Law supaya perlindungan kepada pengguna lebih menyeluruh.
Lemon Law ialah undang-undang yang memberi hak kepada pengguna untuk mendapatkan ganti rugi atau penggantian terhadap kenderaan atau barangan yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi yang dijanjikan.
Penganalisis automotif Hazeri Samsuri pula menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai tepat pada masanya dan mencerminkan kesungguhan memperkukuh perlindungan pengguna.
“Memang sudah tiba masanya kita laksanakan Lemon Law. Saya amat bersyukur kerana kerajaan kali ini benar-benar serius untuk melaksanakannya, sebab isu ini saya dah perjuangkan 10 tahun, tetapi kerajaan sebelum ini tidak memahami kepentingannya. Baru apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke memahami isu ini, ia mendapat perhatian sewajarnya," katanya.
Hazeri berkata pelaksanaan undang-undang itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu pengeluar dan syarikat automotif menangani isu kualiti kenderaan yang semakin kompleks.
“Undang-undang ini amat diperlukan kerana kenderaan masa kini semakin canggih dan kompleks, sekali gus menjadikan kecacatan atau defect tertentu sukar dikesan pada peringkat awal. Dalam keadaan sebegini, proses tuntutan waranti boleh menjadi rumit.
"Contohnya, jika syarikat ingin menggantikan semula kenderaan bermasalah, prosesnya sukar kerana kebanyakan kenderaan dibeli melalui pinjaman bank dan tertakluk kepada Akta Sewa Beli. Maka, dengan adanya Lemon Law, ia dapat memudahkan kedua-dua pihak,” katanya.
Sementara itu, Digital Director PanduLaju Gan Yong Li berkata pelaksanaan Lemon Law akan menjadi ‘game changer’ kepada industri automotif dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap sesuatu jenama.
“Dengan adanya Lemon Law, pengeluar akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan produk serta memastikan kawalan kualiti yang lebih ketat supaya kenderaan yang dijual bebas daripada sebarang masalah.
“Selain itu, pelaksanaan undang-undang ini juga penting bagi membina semula kepercayaan pengguna terhadap jenama automotif, terutamanya kerana isu kepercayaan kini menjadi cabaran utama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial