AM

PRN Sabah: Ambil Langkah Pencegahan Elak Penularan Influenza

23/10/2025 12:50 AM

TAWAU, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua pihak agar mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelak penularan kes influenza semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bulan depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata individu yang bergejala diingatkan agar memakai pelitup muka ketika terlibat dalam aktiviti kempen dan pada hari pengundian.

"Kalau bergejala, janganlah keluar. Anak-anak yang bergejala janganlah hantar ke sekolah, kalau kita di kawasan sesak, pakai pelitup muka dan jaga etika batuk serta bersin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Desa Sungai Imam, Merotai di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.

Dzulkefly berkata berdasarkan laporan Minggu Epidemiologi (ME) 42/2025 mendapati kadar konsultasi kes influenza di negara ini meningkat kepada 13,508 pesakit termasuk 1,174 di Sabah.

Beliau berkata KKM bersedia menangani penularan wabak influenza A semasa musim pilihan raya antaranya melalui pemantauan simptom Penyakit Seperti Influenza (ILI) seperti demam, batuk dan sakit tekak serta Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

Menurut beliau, beberapa klinik kesihatan di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Menggatal, Luyang, Lahad Datu, Membakut dan Tandek sedang menjalankan pemantauan itu, di samping Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.

"KKM juga bersiap siaga dengan memastikan bekalan ubat mencukupi seperti ubat antiviral serta dari aspek vaksinasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan