AM

Pameran "After Monsoon: Tera-Kota" Bawa Seni Kontemporari Dekat Dengan Rakyat

25/10/2025 08:15 PM

KOTA BHARU, 25 Okt (Bernama) -- Dunia seni kontemporari kini semakin dekat dengan masyarakat apabila ia tidak lagi hanya tertumpu kepada ruang pameran di ibu negara sebaliknya diperluas ke serata pelosok tanah air bagi memahami makna sebenar Malaysia melalui kaca mata seni.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi penganjuran pameran “After Monsoon Project: Tera-Kota” hasil kerjasama antara Balai Seni Negara dengan Art Matters Trading yang berlangsung dari 24 hingga 30 Okt di Pantai Pulau Kundur, di sini.

“Pendekatan kami adalah desentralisasi iaitu Kuala Lumpur bukan Malaysia sahaja dan Malaysia bukan hanya Kuala Lumpur. Bagi memahami erti sebenar Malaysia, kita perlu keluar dan menyelami realiti seni serta budaya masyarakat di setiap pelosok negeri yang ada," katanya ketika berucap merasmikan Program After Monsoon Project: Tera-Kota di Pantai Pulau Kundur di sini, hari ini.

Beliau berkata konsep seni kini semakin berkembang dengan pendekatan “site-specific” iaitu karya yang berpaksikan lokasi sebenar dan kehidupan komuniti, bukannya terikat pada pameran konvensional di dalam galeri semata-mata selari dengan perubahan zaman. 

Amerrudin berkata bertemakan “Tanah, Tubuh, Tapak” yang menelusuri hubungan manusia dengan bumi sebagai sumber kehidupan dan inspirasi, Tera-Kota merupakan kesinambungan kepada dua edisi terdahulu, After Monsoon 01 dan 02 di Tumpat pada 2023. 

Mengenai pemilihan Pantai Pulau Kundur sebagai satu daripada tapak program, beliau berkata kawasan itu mencerminkan kehidupan komuniti seni dan nelayan yang bergantung kepada alam.

Mengulas lanjut, Amerrudin berkata kerjasama dengan kumpulan After Monsoon adalah kolaborasi signifikan untuk membina jaringan seni dan projek itu bukan sekadar pameran tetapi merupakan dialog yang memupuk semangat kolektif dan mengikis individualistik dalam dunia seni.

"Selain pameran, program ini turut diisi dengan kenduri seni atau “bekwoh”, persembahan budaya, serta pembinaan kemudahan pembakaran seramik tradisional atau gok yang dikongsi bersama komuniti setempat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Azzaha Ibrahim berkata Tera-Kota membawa makna simbolik yang mendalam iaitu “terra” bermaksud tanah manakala “kota” menggambarkan tubuh sosial manusia yang menelusuri hubungan antara manusia dan alam.

Beliau berkata pemilihan Pantai Pulau Kundur sebagai lokasi program amat sesuai memandangkan hampir 90 peratus penduduknya terlibat dalam seni tradisi seperti batik, tembikar dan anyaman di samping menjadi komuniti nelayan yang aktif. 

“Program ini bukan sekadar pameran tetapi ruang interaksi antara seniman, komuniti dan penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mana apabila orang kampung melihat tanah dan lumpur pun boleh jadi karya, itu satu bentuk pendidikan seni yang dekat dengan jiwa mereka,” katanya.

Selain Pantai Pulau Kundur, tiga residensi seramik turut terlibat dalam menghasilkan karya yang mengangkat tema tanah iaitu di Kuala Kangsar (Perak), Karak (Pahang) dan Langkawi (Kedah) sebelum semua hasil digabungkan dalam pameran khas di Kuala Lumpur pada Disember ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan