AM

Sabah Terima Peruntukan Tertinggi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Tahun Ini

06/11/2025 05:52 PM

TAWAU, 6 Nov (Bernama) -- Sabah menjadi penerima terbesar peruntukan membaik pulih jalan-jalan ladang di bawah projek jalan ladang pekebun kecil (JLPK) dengan RM17.05 juta disalurkan daripada keseluruhan RM20 juta disediakan tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata sehingga 31 Okt lepas, sebanyak 57 projek JLPK diluluskan dengan peruntukan RM17,056,325 di Sabah termasuk tiga projek jalan ladang bernilai RM2 juta di Tawau.

"Bantuan ini disediakan bagi memudahkan urusan logistik dan pengangkutan hasil tuaian pekebun kecil, hal ini kerana selepas pekebun kecil menuai hasil, dan penghantaran buah tan segar perlu sampai ke kilang atau pusat pengumpulan tepat pada masanya.

"Sekiranya masa penghantaran melebihi 24 jam, hal itu akan menyebabkan Free Fatty Acid (FFA) meningkat, jika FFA meningkat kualiti minyak berkurang sekali gus hasil pendapatan pekebun kecil juga kurang. Sebab itu bantuan seumpama ini disalurkan memandangkan keadaan jalan di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program santuni pekebun kecil sawit di sini hari ini.

Selaras dengan komitmen kerajaan membantu pekebun kecil, Chan berkata kerajaan dalam Belanjawan 2026 memperuntukkan tambahan RM50 juta bagi penyelenggaraan serta pembangunan jalan ladang di seluruh negara.

Di samping itu, beliau menasihati  semua pihak agar memanfaatkan sepenuhnya bantuan serta insentif disediakan kerajaan supaya hasil pengeluaran sawit pekebun kecil di Sabah mampu menjana pendapatan lebih tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan