AM

Berita-Berita Ringkas Dewan Rakyat: 10 Nov

10/11/2025 04:56 PM

 

PLATFORM DIGITAL RAKAN JADI SALURAN ADUAN ISU KEHARMONIAN, KOMUNITI

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Platform digital, Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) yang diperkenalkan Kementerian Perpaduan Negara membolehkan orang awam melaporkan sebarang isu atau ancaman yang berpotensi menggugat keharmonian serta keselamatan komuniti.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata laporan yang dikumpul melalui platform itu akan dianalisis Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara, serta dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan.

Beliau berkata bagi lokaliti yang memerlukan intervensi segera, pasukan Mediator Komuniti digerakkan untuk membantu menyelesaikan pertikaian atau konflik secara harmoni di peringkat komuniti dengan pencapaian berjaya menyelesaikan 215 kes pada 2024.

“Antara isu yang boleh dilaporkan melalui RAKAN termasuklah khabar angin atau tanda awal ancaman perpaduan, insiden ketegangan kaum atau agama, isu perkauman, diskriminasi atau penghinaan agama dan konflik komuniti yang berisiko menjejaskan keharmonian serta apa-apa kejadian yang boleh menyebabkan ketegangan sosial di peringkat komuniti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) berhubung langkah memastikan laporan melalui e-Sepakat benar-benar digunakan untuk mencegah konflik perkauman serta meningkatkan keharmonian.

-- BERNAMA

 

KBS TUMPU NAIK TARAF KEMUDAHAN BERBANDING BINA STADIUM MINI - HANNAH

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menumpukan peruntukan untuk menaik taraf kemudahan sukan sedia ada di seluruh negara khususnya stadium mini berbanding menambah kemudahan baharu, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata langkah itu berikutan terdapat kerajaan negeri tidak mampu mengambil alih penyelenggaraan selepas siap dibina, selain masalah kurang menggunakan sepenuhnya fungsi premis untuk kejohanan sukan.

“Banyak projek yang telah siap dan apabila kami serah kepada kerajaan negeri, mereka enggan terima kerana tidak mampu untuk menampung kos penyelenggaraan. Ada banyak stadium mini di peringkat negeri apabila tak cukup kejohanan, parkirnya bertukar jadi tempat pasar malam atau pasar tani,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) mengenai status cadangan pembinaan mini stadium dan penyediaan kemudahan sukan khususnya di Parlimen Bukit Gantang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan