KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia berada pada landasan untuk menerajui inovasi, transformasi digital dan pembangunan bakat di rantau ini, berpandukan kerangka Malaysia MADANI yang memastikan teknologi berperanan untuk manfaat manusia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata di bawah kerangka tersebut, hala tuju negara dipandu oleh prinsip jelas iaitu teknologi perlu memperkasa komuniti, meluaskan peluang serta memperkukuh nilai, bukan menggantikannya.
“Teknologi mesti berkhidmat untuk manusia. Ia perlu memperkasa komuniti, meluaskan peluang serta memperkukuh nilai, bukan menggantikannya.
“Kita bukan mengejar kemajuan hanya demi kemodenan. Kita sedang membina masa depan yang inovatif dari segi kemampuan, inklusif dalam keberhasilan dan lestari dalam matlamat,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata penganjuran sidang kemuncak itu di bawah jenama Hannover Messe mencerminkan pengiktirafan yang diterima Selangor dan Malaysia dalam memenuhi standard antarabangsa sekali gus meletakkan negara sebagai rakan strategik dipercayai, hab serantau serta pemain kompetitif dalam ekonomi inovasi global.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata inovasi mesti bersifat inklusif dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia, bukan hanya terhad di makmal, bilik mesyuarat atau dalam kalangan pembuat dasar.
“Ia mesti menjadi milik setiap rakyat Malaysia — pelajar, usahawan, jurutera, pendidik, penyelesai masalah dan para pemikir. Sebuah negara yang hebat tidak dibina dengan teknologi semata-mata, tetapi oleh rakyat yang tidak pernah berhenti belajar, berfikir dan membina masa depan bersama,” katanya.
Fadillah turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Selangor dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) kerana mewujudkan platform yang menghubungkan industri, akademia dan rakan global bagi memacu transformasi industri.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapan aluannya berkata sidang kemuncak sulung itu bukan sekadar persidangan, tetapi platform pelancaran kepada peluang dan kerjasama baharu.
“Menyaksikan inovator bertaraf dunia, peneraju industri dan bakat generasi baharu berkumpul di Kuala Lumpur memberi rasa bangga dan keterujaan. Selangor mengalu-alukan dunia untuk merasai komitmen kami terhadap pembuatan termaju, teknologi hijau dan pembangunan bakat berkemahiran.”
“Inilah platform, idea diterjemah kepada penyelesaian dan aspirasi menjadi kemajuan. Kita tidak menunggu masa depan. Kita membentuknya di sini, bersama rakan global dan inovator Malaysia,” katanya.
Sidang kemuncak selama dua hari itu, yang dianjurkan Kerajaan Selangor dengan kerjasama STDC serta rakan penganjur Deutsche Messe, menghimpunkan lebih 2,000 delegasi dan pengunjung dari lebih 20 negara termasuk ASEAN, China, Jepun, Korea, Eropah dan Timur Tengah.
Acara itu turut menampilkan pempamer global dan serantau utama antaranya Siemens, Mercedes-Benz, KNX dan Festo serta peneraju inovasi teknologi termaju yang lain.
Penganjuran ini menandakan satu titik penting ketika Malaysia mempercepat peralihan ke arah ekonomi berasaskan pembuatan termaju dan teknologi, dipacu automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI), kilang pintar, sistem 5G, rangka kerja industri lestari serta pembangunan bakat berkemahiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial