EKONOMI

96 Syarikat Perkilangan Bakal Diiktiraf Kilang Pintar Menjelang Akhir 2025 - MITI

12/11/2025 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) — Sebanyak 96 syarikat perkilangan dijangka menerima pengiktirafan sebagai kilang pintar menjelang akhir tahun ini, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu berkata sasaran berkenaan berdasarkan kemajuan beberapa program transformasi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

Menurut MITI, program Smart Tech-Up yang diperkenalkan pada Disember 2024, menjadi pemacu utama kepada peningkatan bilangan syarikat yang bersedia beralih kepada sistem pengeluaran pintar.

“Sehingga 24 Okt, 2025, sebanyak 21 kilang telah dikenal pasti sebagai kilang pintar (di bawah Program Smart Tech Up), manakala 71 daripada 196 syarikat yang mendaftar di dalam program itu sedang menjalani beberapa peringkat pelaksanaan ke arah transformasi menjadi kilang pintar,” kata kementerian berkenaan. 

Bagi kohort pertama, MITI menyasarkan sekurang-kurangnya 40 syarikat akan menjadi kilang pintar menjelang suku ketiga 2026 di bawah program berkenaan.

MITI menjawab pertanyaan Datuk Seri Amirudin Shari (PH–Gombak) yang meminta kementerian menyatakan pencapaian terkini NIMP 2030 selepas dua tahun pelaksanaannya serta bilangan syarikat yang telah beralih kepada teknologi pembuatan automasi dan diiktiraf sebagai syarikat pintar.

Sementara itu, MITI berkata di bawah program pengiktirafan kilang pintar untuk syarikat pembuatan termasuk sektor automotif, sebanyak lima syarikat telah mendapat penarafan kilang pintar sehingga 24 Okt, 2025. 

Kementerian itu turut menjelaskan bahawa transformasi industri melalui NIMP menunjukkan perkembangan yang konsisten termasuk peningkatan nilai tambah sektor pembuatan sebanyak 3.7 peratus pada suku kedua 2025.

“Bilangan guna tenaga dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 27,000 orang pada suku kedua 2025 kepada 2.85 juta berbanding 2.83 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Gaji penengah (median) dalam sektor yang sama meningkat daripada RM2,360 pada 2023 kepada RM2,490 pada 2024 dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus,” tambah MITI.          

— BERNAMA
 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan