POLITIK

Kerajaan Persekutuan Diterajui PH Tidak Pernah Anggap Sabah Sebagai Lawan - Loke

16/11/2025 07:56 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menganggap Sabah sebagai lawan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata PH ingin menjadi rakan kerjasama yang konstruktif dan memberi nilai tambah dalam mana-mana kerajaan gabungan pada masa hadapan serta memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa PH kekal komited terhadap aspirasi negeri itu.

“Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan Persekutuan diterajui PH adalah kerajaan yang menyokong Sabah. Tidak ada sebab untuk kami bercanggah dengan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PH tidak meletak calon Ketua Menteri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sebaliknya berhasrat menjadi penghubung antara kerajaan Sabah dengan Putrajaya bagi memastikan kerjasama yang erat serta pelaksanaan dasar pembangunan berjalan lancar.

"Peranan kami adalah memastikan hubungan yang harmoni antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan khususnya dalam isu penting seperti hak hasil 40 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi di negeri ini khususnya di kawasan bandar yang memiliki calon bertanding daripada DAP dan PH untuk mengundi secara strategik serta mempertimbangkan kesan jangka panjang keputusan mereka.

“Sekiranya sebuah kerajaan negeri yang sepenuhnya menentang kerajaan Persekutuan mengambil alih pemerintahan, lima tahun akan datang akan dipenuhi dengan politiking, perbalahan dan retorik emosional. Keadaan sedemikian tidak akan menyelesaikan isu jangka panjang Sabah,” katanya.

Percanggahan politik, katanya hanya akan merencatkan projek pembangunan dan menghalang kemajuan rakyat.

Loke berkata walaupun rakyat Sabah sering memihak kepada parti tempatan, namun penting untuk memiliki wakil daripada parti nasional yang membentuk kerajaan Persekutuan.

“Perlu ada keseimbangan. Dengan adanya wakil PH di Sabah akan mewujudkan situasi sama menang, memastikan sokongan Persekutuan yang kukuh dan kerajaan negeri yang stabil,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan