POLITIK

40 Peratus Hasil Sabah: Loke Selar Tindakan Ewon Letak Jawatan, Anggap Cuba Tarik Perhatian

16/11/2025 08:49 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai lebih bertujuan menarik perhatian daripada tindakan berani kerana benar.

Loke berkata Jemaah Menteri telah mengadakan mesyuarat khas pada 11 Nov khusus untuk membincangkan isu 40 peratus itu, yang menurut beliau menunjukkan betapa pentingnya perkara berkenaan.

“Setelah perbincangan teliti, Kabinet mencapai kata sepakat untuk tidak merayu terhadap keputusan mahkamah mengenai hak 40 peratus Sabah, namun kerajaan bersetuju merayu beberapa perkara dalam alasan penghakiman yang mencadangkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan sejak 1974 telah menyalahguna kuasa.

“Jika kita tidak mencabar penemuan tertentu itu, ia bermakna kerajaan semasa mengakui bagi pihak pentadbiran terdahulu mengenai penyalahgunaan kuasa. Perkara itu boleh membawa implikasi jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke juga membidas Ewon kerana berulang kali mendakwa Kabinet mengabaikan pandangan Sabah sedangkan hakikatnya, beliau gagal menghadiri mesyuarat yang diadakan khusus untuk menyelesaikan masalah itu.

Pada masa sama, Loke turut mempersoal tindakan Ewon yang tidak menggunakan mesyuarat Kabinet untuk menyuarakan bantahannya atau mencabar Peguam Negara secara terus.

“Ewon asyik menekankan isu ini, cuba menjadi wira, tetapi hakikatnya beliau tidak hadir pada mesyuarat khas Kabinet itu, sementara Peguam negara hadir untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada Kabinet. Ewon tahu tentang mesyuarat itu tetapi beliau tidak hadir.

"Jika beliau benar-benar berani, mengapa tidak hadir dan berdepan dengan Peguam Negara? Mengapa tidak menyatakan hujahnya secara rasmi dan merekodkannya? Hakikatnya, beliau mengelak daripada berbuat demikian,” katanya.

Menurut Loke, walaupun Ewon mengumumkan peletakan jawatan pada 8 Nov, ia belum rasmi dan secara teknikal Ewon masih anggota Kabinet kerana peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas Disember, dan beliau kini sedang bercuti.

Dalam kenyataan lain, Loke menegaskan bahawa DAP dan Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk bekerjasama dengan Sabah bagi merealisasikan tuntutan 40 peratus secara berperingkat, mengikut tatakelola dan proses undang-undang yang betul.

“Sebagai menteri Kabinet, kita mempunyai tanggungjawab memelihara perpaduan Persekutuan. Membuat rayuan terhadap tuntutan ini boleh dieksploitasi oleh individu tertentu untuk membangkitkan emosi, menimbulkan sentimen anti-Persekutuan dan mempengaruhi pengundi Sabah. Tanggungjawab kita ialah untuk mempertahankan Persekutuan dan mengekalkan perpaduan.

“DAP Sabah sentiasa menyokong tuntutan 40 peratus Sabah. Ia tidak boleh sekadar atas kertas. Kita konsisten mendesak Putrajaya mengenai perkara ini dan merupakan kumpulan politik pertama yang mengambil tindakan undang-undang, menunjukkan komitmen teguh kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan