AM

Tambah Sekolah Menengah Di Merotai Antara Ikrar Ruji Jika Diberi Mandat

17/11/2025 12:58 PM

TAWAU, 17 Nov (Bernama) -- Sebuah lagi sekolah menengah perlu dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai di sini bagi menampung keperluan pendidikan penduduk setempat.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Merotai Datuk Ruji Ubi berkata beliau berikrar akan memperjuangkan hasrat penduduk tempatan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ruji berkata dengan hanya dua pilihan, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merotai dan SMK Abaka, ramai pelajar terpaksa menempuh perjalanan jauh ke bandar Tawau untuk meneruskan persekolahan.

"Terdapat keperluan untuk sebuah lagi sekolah menengah dibina di DUN Merotai, perkara ini antara yang pernah saya suarakan semasa menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan," katanya ketika ditemui Bernama selepas ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi Air Panas di sini malam tadi.

Beliau berkata komitmennya itu selari dengan visi untuk memajukan DUN Merotai serta memastikan anak-anak tempatan mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama.

Ruji berkata beliau juga akan memberikan perhatian terhadap dua masalah utama di kawasan Air Panas, iaitu kekurangan lampu jalan dan isu penyelenggaraan parit.

Calon PH itu berdepan saingan empat penjuru di DUN Merotai yang terletak dalam Parlimen Tawau. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah ke-17, yang membabitkan 73 kerusi DUN, manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N72: MEROTAI: SABAH: 26,179

1. Rhyme @ Reymie Kassim           (PIS)

2. Hasan Haris                                 (PN-PAS)

3. Sarifuddin Hata                             (Warisan)

4. Datuk Ruji Ubi                               (PH-PKR)

 

(2020: Sarifuddin Hata: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,587)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan