POLITIK

Manifesto GRS Sasar Kutipan Hasil Negeri Cecah RM10 Bilion Menjelang 2030

17/11/2025 05:52 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Sasaran kutipan hasil negeri mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030 menjadi teras manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dilancarkan hari ini. 

Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha itu akan dimaknai dengan strategi memperluas sumber hasil pendapatan negeri, antaranya melalui penerokaan potensi Ekonomi Biru, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan pemerdagangan kredit karbon.

“Sekarang (hasil negeri) hampir RM7 bilion pada 2024 dan dalam tempoh lima tahun kita mahu mencapai sasaran RM10 bilion dan kita optimis, positif.

“Insya-Allah kita yakin dengan strategi yang kita gariskan, kita akan dapat meningkatkan dan mencapai sasaran kutipan RM10 bilion tersebut, kita optimis boleh dapat lebih dengan kapasiti dan keupayaan fiskal yang terus meningkat ini,” katanya ketika membentangkan manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata dengan peningkatan hasil itu, lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan dan pelbagai isu rakyat dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Menjelas lanjut, Armizan berkata jumlah hasil pendapatan negeri menunjukkan momentum peningkatan positif sepanjang tempoh pentadbiran GRS dengan kali pertama menembusi paras RM5 bilion pada 2021 setelah berbelas tahun berada sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion di bawah pentadbiran kerajaan lepas.

Beliau berkata peningkatan bermula pada 2021 sebanyak RM5.45 bilion seterusnya RM6.96 bilion (2022), RM6.97 bilion (2023) dan RM6.84 bilion (2024).

“Ini menunjukkan pertambahan hasil sebanyak RM3.25 bilion (90.5 peratus) pada 2024 di bawah pentadbiran GRS berbanding 2020 di bawah pentadbiran kerajaan Warisan,” katanya.

Armizan berkata kejayaan peningkatan hasil pendapatan negeri dan rizab negeri adalah teras kepada manifesto GRS yang mempersembahkan hala tuju ke hadapan dan rekod prestasi untuk tempoh lima tahun (2021-2025) memimpin negeri.

Beliau berkata  pencapaian itu bukan sahaja menembusi rekod tertinggi dalam sejarah pentadbiran Sabah, malah menjadi bukti keberkesanan strategi ekonomi, disiplin fiskal dan tadbir urus baik di bawah pentadbiran GRS.

“Ini sekali gus menzahirkan kejayaan agenda kerajaan GRS melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025),” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata semua parti yang bertanding perlu tampil dengan manifesto yang realistik bersandarkan keupayaan fiskal negeri dalam tempoh lima tahun (2026 - 2030).

Justeru, beliau meminta parti yang bertanding mempersembahkan manifesto masing-masing beserta rekod prestasi dalam konteks tahap pencapaian menjana pendapatan negeri ketika berkuasa dengan mengambil kira parti utama yang bertanding pernah memimpin negeri itu. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan