KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menubuhkan Sabah ‘Sovereign Wealth Fund’ pada tahun depan sekiranya diberikan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif yang dinamakan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah itu merupakan strategi jangka panjang parti untuk memastikan negeri memiliki sumber pendapatan yang lebih stabil dan mampan, serta tidak hanya bergantung kepada hasil cukai serta sumber komoditi yang turun naik.
Beliau menjelaskan dana itu akan berfungsi sebagai instrumen pelaburan strategik yang hanya digunakan selepas mencapai tempoh tertentu bagi tujuan pembangunan negeri.
“Kita akan ambil sebahagian daripada rizab negeri sebagai modal awal kepada Sabah Sovereign Wealth Fund, manakala tambahan modal tahunan pula akan diambil daripada hak 40 peratus.
“Sebahagian daripada setiap tahun 40 peratus hak itu, iaitu special grant, akan dimasukkan ke dalam dana ini,” katanya ketika membentangkan manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Menjelaskan lanjut, Armizan berkata tadbir urus dana itu akan melibatkan gabungan wakil kerajaan negeri dan profesional dalam bidang kewangan, pelaburan serta perundangan bagi menetapkan dasar dan strategi pelaburan yang memberi pulangan mampan kepada Sabah.
“Kita mahu para pakar ini memberi nasihat kepada kerajaan negeri dalam menggerakkan Sabah Sovereign Wealth Fund, termasuk menilai pelaburan strategik sama ada dalam pasaran saham, pelaburan domestik atau luar negara,” katanya.
GRS yakin penubuhan dana itu akan membawa Sabah ke arah pendapatan lebih stabil, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan pada masa depan, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu infrastruktur asas.
“Kita mahu anak cucu kita mentadbir negeri ini bukan sekadar meningkat hasil semasa, tetapi juga mendapat hasil daripada pelaburan generasi pemimpin hari ini bagi membina masa depan mereka,” tambahnya.
Menurut Armizan, penubuhan dana itu merupakan satu daripada komponen utama manifesto GRS dan akan diterjemahkan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala pengundian awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial