LABUAN, 17 Nov (Bernama) -- Pihak berkempen tidak harus memandang rendah tahap kematangan politik dan pemikiran pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 kerana mereka kini tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda yang tidak mendatangkan manfaat ketara kepada kawasan masing-masing.
Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), berkata pengundi di Sabah kini mencapai tahap kematangan politik yang menuntut ketulusan, akauntabiliti dan agenda pembangunan sebenar daripada semua calon yang bertanding.
Beliau berkata sentimen di lapangan kali ini menunjukkan bahawa rakyat Sabah semakin terbuka dalam menerima konsep Kerajaan Perpaduan meskipun terdapat beberapa percubaan daripada pihak luar untuk menjejaskan kepimpinan Persekutuan.
“Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di beberapa kawasan di mana calon Pakatan Harapan bertanding telah menerima sambutan yang amat menggalakkan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa pengundi Sabah bersikap terbuka terhadap pemimpin Persekutuan dan mampu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta, bukannya terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan oleh pihak luar,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dr Zaliha berkata sesetengah pihak wajar menghentikan usaha mengambil kesempatan daripada isu peruntukan hasil 40 peratus kerana Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung perkara itu.
“Perbincangan bagi menyelesaikan isu ini telah dimulakan hari ini antara Kerajaan Persekutuan dan Setiausaha Negeri Sabah… ia sedang dijalankan melalui proses yang teratur dan bukannya melalui retorik politik,” katanya.
Beliau berkata pembangunan Sabah perlu bergerak selari dengan agenda utama negara bagi memastikan kemajuan jangka panjang, keterangkuman ekonomi dan peningkatan infrastruktur di negeri itu.
“Untuk merealisasikan perkara ini, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diperkukuh.
"Sabah berhak menerima pembangunan yang sejajar dengan pertumbuhan nasional, dan kerjasama antara kedua-dua peringkat kerajaan adalah kuncinya,” kata beliau.
Dr Zaliha juga berkata perubahan minda pengundi Sabah adalah petanda jelas bahawa mereka kini mengutamakan kestabilan, kejelasan dasar dan kepimpinan yang mampu membawa penambahbaikan ketara dalam kehidupan seharian mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial