EKONOMI

Malaysia Akan Manfaatkan Perjanjian Perdagangan Untuk Perkukuh Pensijilan MSPO

18/11/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perjanjian perdagangan yang baru dimuktamadkan bagi mempromosikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) memandangkan standard kemampanan yang semakin mempengaruhi akses pasaran global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata keperluan kemampanan semakin berkait rapat dengan akses perdagangan di seluruh dunia.

“Dengan pensijilan MSPO yang kukuh dan kebolehkesanan sepenuhnya, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang, (dan) pensijilan MSPO kekal sebagai tonggak kredibiliti kami.

“Ia merangkumi prinsip alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus yang menyeluruh di ladang, kilang dan dalam kalangan pekebun kecil,” katanya dalam ucap tama di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) (PIPOC) 2025 di sini hari ini.

Fadillah berkata Perjanjian Perkongsian Ekonomi Kawasan Perdagangan Bebas Malaysia-Eropah yang dimeterai pada Jun 2025 menandakan titik perubahan utama, dengan akses keutamaan untuk minyak sawit MSPO, yang memperlihatkan kemampanan dan perdagangan diselaraskan antara satu sama lain.

“Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu, yang berkuat kuasa pada 1 Okt 2025 memperluas kehadiran Malaysia di Timur Tengah -- wilayah yang semakin penting bagi produk hiliran berasaskan sawit,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan di Indonesia, Amerika Latin dan Afrika menunjukkan bahawa momentum minyak sawit  di peringkat global terus berkembang pesat, yang didorong oleh keperluan, kecekapan dan kemampanan.

“Sub-Sahara Afrika dan ASEAN turut menunjukkan peningkatan permintaan,” katanya.

Fadillah berkata minyak sawit menyumbang sebanyak 30 peratus daripada minyak dan lemak global, menjadikannya sebagai minyak sayuran paling banyak digunakan di dunia.

“Malaysia kekal sebagai pengeluar kedua terbesar, menyumbang 24 peratus daripada output global pada 2024 dan 35 peratus daripada eksport global.

“Dengan hanya 5.6 juta hektar, Malaysia menghasilkan 19.34 juta tan minyak sawit pada 2024, menunjukkan produktiviti yang bertaraf dunia walaupun prestasi kemampanan kita terus meningkat,” katanya.

Pada 2024, Malaysia mengeksport 16.9 juta tan minyak sawit ke pasaran utama seperti India, China, Kesatuan Eropah, Kenya, Türkiye, Jepun dan Filipina.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan