AM

Akses Digital Inklusif Kunci Transformasi Malaysia - Fadillah

18/11/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Usaha negara ke arah transformasi digital berpusatkan rakyat perlu memastikan setiap warganya tanpa mengira lokasi atau pendapatan mempunyai akses sama rata kepada peluang digital selaras dengan peralihan negara ke arah masa hadapan lebih keterhubungan dan pintar. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan membayangkan negara dilengkapi infrastruktur digital termaju, tenaga kerja mahir, bandar yang lestari, pekerjaan bernilai tinggi dan komuniti yang mampu menyertai kemajuan digital negara sepenuhnya.

“Cita-cita Malaysia adalah jelas. Kita berada di sini bukan hanya untuk menjadi pengikut revolusi digital, tetapi untuk memimpin. Semua usaha itu bersandarkan satu prinsip, iaitu teknologi perlu memartabatkan rakyat.

“(Kita membayangkan) sebuah negara Malaysia apa jua kemajuan dikongsi bersama dan membawa manfaat kepada setiap rakyat,” katanya dalam ucaptama di Smart Nation Expo 2025 di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kementerian terus memperjuangkan tenaga boleh diperbaharui, memperkukuh ketahanan tenaga, memajukan pengurusan air pintar dan memimpin integrasi teknologi hijau.

Beliau berkata visi Malaysia untuk meletakkan pendigitalan dan kemampanan sebagai tonggak yang saling menguatkan, memastikan negara bukan sahaja menjadi lebih pintar, tetapi juga lebih hijau, selamat dan berdaya tahan.

“Aspirasi negara selari dengan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia, yang membayangkan masa hadapan yang mempunyai akses digital inklusif, perkhidmatan awam lancar, kecekapan mobilit dan sistem tenaga serta air beroperasi secara pintar,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan Smart Nation Expo 2025 acara bertemakan Driving Digitalisation Towards a Smart Economy itu menampilkan lebih 300 syarikat peserta dan dijangka menarik lebih 21,000 profesional industri dari seluruh rantau sepanjang acara berlangsung bermula hari ini hingga 20 Nov.

Ekspo anjuran Electric Vehicle Manufacturing (EVM) Asia dan Data Centre Asia Malaysia itu, mempamerkan kemajuan dalam mobiliti generasi hadapan dan infrastruktur data.

Tiga sidang kemuncak utama turut diadakan, iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi Digital 2025 dan Sidang Kemuncak Bandar Pintar Asia 2025 dan Forum EIC selain lebih 50 perbincangan mengenai teknologi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan