KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia memberi keutamaan kepada peningkatan hasil minyak sawit seiring pengeluaran mampan dan menghormati langkah yang diambil Indonesia berhubung tanah yang dikaitkan dengan perladangan kelapa sawit.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan Malaysia kekal berpegang pada dasar tidak membuka ladang baharu kelapa sawit, sebaliknya bergantung pada kawasan sedia ada.
“Kami kekal komited terhadap penggunaan bahan tanaman berkualiti, amalan pertanian yang baik dan meningkatkan hasil, bukannya meluaskan penggunaan tanah.
"Berhubung langkah Indonesia, ia di bawah bidang kuasa negara itu dan kita tidak boleh mencampuri urusan mereka. Kita perlu menghormati undang-undang mereka, dan sebarang tindakan terhadap pemain industri adalah sepenuhnya hak mereka,” katanya pada sidang media di luar Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini.
Johari diminta mengulas mengenai tindakan Indonesia baru-baru ini yang merampas tanah perladangan menerusi inisiatif yang disokong pihak tentera dan kemungkinan kesannya kepada syarikat Malaysia yang beroperasi di negara itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia mempunyai hala tuju industri yang jelas dan akan memastikan tiada lagi aktiviti pembalakan atau penebangan hutan baharu.
“Semua pemain industri perlu memenuhi keperluan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di setiap peringkat pengeluaran, dari huluan hingga pertengahan dan hiliran,” katanya.
Dilaporkan Indonesia merampas 9.1 juta hektar tanah ladang dan merancang membuka 600,000 hektar tanah baharu bagi penanaman kelapa sawit untuk meningkatkan pengeluaran.
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran global dan 35 peratus daripada eksport global pada 2024, dengan jumlah pengeluaran sebanyak 19.34 juta tan daripada kira-kira 5.6 juta hektar kawasan tanaman dalam negara.
Sementara itu, Johari berkata harga minyak sawit mentah kekal stabil pada sekitar RM4,000 satu tan sejak 10 bulan lepas dan pihaknya berpuas hati dengan paras harga semasa itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial