AM

WBS Jalin Kerjasama Strategik Dengan UKM, Perkukuh Ekosistem Pemberdayaan Wanita

18/11/2025 11:17 PM

SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Wanita Berdaya Selangor (WBS) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita di bawah Akademi Kepimpinan Wanita (AKW).

Langkah signifikan itu, antara lain bertujuan membina ekosistem kepimpinan wanita yang lebih berdaya saing, progresif dan inklusif menjelang 2030 selaras sasaran 30 peratus perwakilan wanita dalam pembuatan keputusan di setiap peringkat.

Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Faridah Abdul Samad berkata bagi mencapai sasaran itu, AKW akan menyediakan modul latihan profesional yang diiktiraf bagi memperkukuh kapasiti wanita sebagai peneraju sektor awam, swasta serta komuniti. 

“Jika sebelum ini AKW hanya menyediakan kelas dan peserta akan menerima sijil penyertaan daripada kerajaan negeri, kini melalui kerjasama dengan UKM, peserta akan menerima sijil profesional yang diakreditasi, sekali gus meningkatkan prestij program ini sebagai sebuah program yang diiktiraf.

"Ini selaras dengan sasaran kami iaitu mahukan lebih ramai wanita bersedia meningkatkan tahap kerjaya seterusnya dalam jangka masa panjang berada di tahap pembuat keputusan tertinggi dalam sesebuah organisasi," katanya selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu di sini.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari itu turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari.

Sementara itu, Anfaal berkata pihaknya tidak mahu sekadar meneruskan program AKW yang telah terbukti berkesan tetapi komited meningkatkan lagi mutu serta standard sedia ada, menjadikannya diiktiraf, diakreditasi, dan setara dengan piawaian profesional.

Beliau berkata Sijil Profesional Kepimpinan Wanita yang akan diwujudkan di bawah kerjasama dengan UKM itu akan memberikan wanita Selangor bukan sekadar ilmu tetapi satu pengiktirafan formal, kredibiliti, dan tiket untuk memasuki ruang kepimpinan yang lebih luas.

Anfaal berkata keberkesanan AKW bukan retorik tetapi boleh dilihat melalui pencapaian peserta yang berjaya menghasilkan kerja lapangan berimpak tinggi.

Menurut beliau, pendidikan merupakan wadah pemerkasaan teragung dan menjadikan wanita bukan sekadar pengikut tetapi peneraju perubahan. 

“Kita boleh memberi bantuan, kita boleh memberi peluang tetapi jika kita memberi pendidikan, kita sebenarnya memberi kuasa untuk seseorang berdiri sendiri dan mengubah kehidupan. Inilah falsafah kerja kita di Selangor,” katanya. 

Terdahulu, pada majlis sama turut diadakan penyampaian Biasiswa WBS Kohort 4 kepada enam penerima baharu iaitu tiga pelajar peringkat Sarjana dan tiga di peringkat Doktor Falsafah (PhD). 

Penerima Biasiswa WBS di peringkat Sarjana ialah Tengku Husni Tengku Ab Razak, Rus Minah Sukim dan Rusyaidatul Zhafirah Redza, manakala peringkat PhD pula Nor Yasmin Salim, Norazilawati Md Azizi serta Irma Syuryani Jaswir.

Sejak diperkenalkan pada 2021, sebanyak 34 wanita menerima manfaat biasiswa itu, dengan 13 daripadanya telah menamatkan pengajian mereka untuk Kohort 1 sehingga Kohort 3.

Biasiswa tersebut memberi tumpuan kepada bidang seperti pengajian gender, kepimpinan wanita, ekonomi penjagaan, sains politik dan sains sosial serta pengajian pembangunan masyarakat.

Pada majlis itu, WBS turut melancarkan logo baharu AKW Selangor dengan menampilkan reka bentuk elemen keanggunan, keteguhan dan wawasan, menandakan fasa baharu dalam memperkukuh identiti kepimpinan wanita seiring aspirasi melahirkan pemimpin wanita berimpak tinggi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan