KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pengurusan wakalah kini menjadi lebih pantas dan mudah apabila Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan MyWakalah 2.0, platform digital yang menghimpunkan semua urusan wakalah dalam satu sistem bersepadu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata versi terbaharu itu turut membolehkan pengurusan wakalah dilakukan sepenuhnya secara digital, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada proses manual melalui sistem pintar yang diintegrasikan dengan pangkalan data dalaman PPZ-MAIWP.
“Semua transaksi, laporan dan data wakalah kini dapat diakses secara telus, tepat dan terkini, memudahkan pemegang wakalah menguruskan wakalah mereka dengan lebih efisien dan berintegriti,” katanya pada Majlis Pelancaran Wakalah Talk 2025 dan Perasmian MyWakalah 2.0 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Seri Amrin Awaluddin. Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil.
Mohd Na’im berkata antara ciri baharu MyWakalah 2.0 ialah semakan profil dan rekod asnaf, semakan rekod bayaran zakat, penambahan bayaran zakat, semakan status permohonan wakalah, pengemaskinian maklumat profil secara langsung dan beberapa fungsi tambahan lain.
Selain itu, beliau berkata jumlah agihan wakalah bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berjumlah RM239 juta, meningkat 32 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut beliau, penggunaan teknologi canggih dan sistem pengurusan yang lebih tersusun itu akan meningkatkan keberkesanan urusan zakat negara, memperkukuh ketelusan serta integriti, selain memastikan keberkatan dan amanah zakat disampaikan kepada golongan yang memerlukan.
“Skim Wakalah ini bukan sekadar mekanisme pengagihan zakat, ia juga membuka ruang kepada setiap pembayar zakat untuk turut serta dalam memastikan dana zakat mereka sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Perkara ini secara tidak langsung membina kesedaran sosial dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial