KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus memperkukuh peranannya sebagai "teman pendengar" melalui penyediaan perkhidmatan psikososial bagi membantu individu mengurus tekanan hidup.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, bertujuan membina ekosistem sokongan emosi bagi meringankan beban masyarakat.
“Melalui program pendidikan dan sokongan psikososial, kami berharap dapat membantu mereka yang menghadapi pelbagai cabaran.
“Bukan semua masalah dapat diselesaikan sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya, kami boleh menenangkan dan menjadi teman pendengar… untuk membantu mengembalikan kekuatan kepada mereka yang berdepan apa jua cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi rakaman audio siar Kasih Lensa Keluarga Bernama TV bertajuk "Kasih Kesejahteraan Masyarakat Malaysia" di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Noraini berkata program di bawah inisiatif K.A.S.I.H iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu dan Harmoni itu dilaksanakan selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan ilmu, akhlak dan nilai murni, dengan keluarga memegang peranan penting dalam masyarakat.
“Sebab itu, melalui program yang disediakan kementerian, kami mahu terapkan nilai kasih sayang dalam keluarga kerana ia penting untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata nilai berkenaan perlu dijadikan asas pembinaan keluarga dan panduan dalam kehidupan seharian kerana ia mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Nilai kasih sayang itu, katanya, bukan sahaja perlu diperkukuh dalam institusi keluarga tetapi juga dalam ekosistem sosial membabitkan rakan dan komuniti sekeliling agar ia membentuk hubungan yang lebih positif serta sikap saling menghormati.
Mengulas mengenai kesan positif dalam pendekatan inisiatif itu bagi mewujudkan masyarakat sejahtera, Noraini berkata skor kesejahteraan keluarga di bawah Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia menunjukkan peningkatan.
“Skor kesejahteraan mencatat 7.33 pada 2016 dan meningkat kepada 7.93 pada 2022... ini menunjukkan program dan intervensi yang dilaksanakan oleh kementerian sedikit sebanyak berjaya mewujudkan hubungan positif dalam keluarga sekali gus membuktikan keberkesanannya,” katanya.
Beliau juga berkata kementerian sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif kasih termasuk mendengar maklum balas daripada komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial