AM

Jumlah Mangsa Terus Meningkat, Terengganu Kembali Dilanda Banjir

26/11/2025 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kebanyakan negeri pada pagi ini terus meningkat, dengan Terengganu kembali dilanda bencana itu, manakala hanya Pahang mencatatkan penurunan. 

KELANTAN kekal sebagai negeri paling terjejas, dengan mangsa banjir kembali meningkat kepada 9,615 orang daripada 3,643 keluarga pagi ini berbanding 9,337 orang malam tadi selepas empat lagi jajahan, iaitu Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang mula dilanda banjir awal pagi ini, menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Infopublic Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air di beberapa sungai utama di Kelantan kekal tinggi dengan beberapa stesen merekodkan bacaan melepasi tahap waspada, amaran dan bahaya setakat 8.30 pagi ini.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir mengalami peningkatan menjadi 6,087 orang setakat pagi ini dengan penambahan tiga lagi PPS berbanding 5,244 mangsa yang berada di 17 PPS malam tadi.

Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, kesemua mangsa banjir melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar itu kini ditempatkan di 20 PPS setakat pukul 8 pagi ini.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,049 orang daripada 1,021 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,629 orang daripada 543 keluarga dari Kubang Pasu dan Kota Setar yang ditempatkan di 17 PPS. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,247 orang daripada 783 keluarga dan ditempatkan di 15 PPS manakala Kota Setar, seramai 802 orang daripada 238 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Sementara itu, laman web rasmi Public Banjir memaklumkan 10 sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya antaranya Sungai Anak Bukit dengan 3.37 meter (m), Sungai Padang Terap (4.55m), Sungai Perik (14.53m), Sungai Bata (11.2m) dan Wang Tepus (10.339m).

Di SELANGOR, jumlah mangsa juga meningkat kepada 2,970 individu daripada 799 keluarga berbanding 2,773 individu membabitkan 749 keluarga malam tadi dengan jumlah PPS kekal 23 di tujuh daerah terbabit banjir.

Semakan di Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menunjukkan hanya tiga sungai melepasi paras bahaya iaitu di Jambatan SKC Hulu Selangor (19.67m), pekan Meru, Klang (4.42m) dan Pintu Air Ijok, Kuala Selangor (4.21m)

Sementara di TERENGGANU, banjir kembali melanda negeri itu melibatkan dua daerah, Marang dan Besut dengan membabitkan sebanyak 153 mangsa daripada 45 keluarga yang dipindahkan ke 10 PPS setakat 8 pagi ini.

Berdasarkan laman sesawang InfoBencana Jabatan Masyarakat (JKM), sebanyak 63 mangsa daripada 16 keluarga dari daerah Marang ditempatkan di lima PPS, manakala di Besut pula, sebanyak 90 mangsa daripada 29 keluarga turut berlindung di lima PPS.

Laman sesawang Public Banjir menunjukkan paras air Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut telah melepasi tahap waspada.

Di PULAU PINANG, mangsa banjir kekal 50 orang daripada 11 keluarga di satu-satunya PPS yang masih aktif di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), menurut Pusat Kawalan Bencana Negara yang dikemas kini setakat 6 pagi tadi.

Di PAHANG, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub Samasuddin Kambade berkata seramai 23 mangsa daripada 11 keluarga yang ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Ulu Sungai, Raub sejak semalam telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pagi ini berikutan banjir pulih sepenuhnya.

Menurut Infobencana JKM, seramai 19 mangsa daripada lapan keluarga masih kekal berlindung di PPS Dewan Seberguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis. 

Sementara itu di SABAH, jurucakap Jabatan Kerja Raya Sabah memaklumkan bahawa dua kejadian cerun runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Bukit Bendera Upper, Kota Kinabalu, iaitu di kilometer 0.850 berhampiran Bayshore Condominium dan kilometer 2.550, akibat hujan lebat berterusan.

Berikutan itu, Tanda Mara Peringatan (TMP) telah dipasang di kedua-dua lokasi dan pemantauan dijalankan secara berterusan. Namun, kedua-dua jalan masih boleh dilalui, manakala Jalan Tun Fuad Stephen disediakan sebagai laluan alternatif.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah terus memantau situasi bencana di negeri itu berikutan hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan