KOTA BHARU, 26 Nov (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala seorang lagi terselamat selepas kereta dinaiki dihanyutkan arus deras di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, Tanah Merah, awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi mengenai sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang dihanyutkan arus di kawasan berkenaan.
“Jentera bomba tiba di lokasi tiga minit kemudian dan operasi mencari serta menyelamat segera dijalankan. Mangsa pertama, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin berjaya diselamatkan manakala seorang lagi wanita Siti Gayah Zakaria didapati hilang.
"Mangsa kedua (Siti Gayah) ditemukan pada 7.49 pagi tadi tidak jauh dari lokasi kereta berkenaan tersangkut sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.
Operasi melibatkan anggota BBP Tanah Merah bersama sebuah jentera FRT sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintenden Muhd Haki Hasbullah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada 4.10 pagi sebelum Siti Gayah, 70, ditemukan oleh orang awam pada 7.45 pagi.
Beliau berkata mayat mangsa dijumpai 120 meter dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.
"Saya ingin menasihati orang ramai agar berwaspada ketika musim monsun timur laut khususnya ketika berada di jalan raya atau kawasan berisiko banjir.
"Elakkan melalui kawasan yang mudah dinaiki air atau sungai yang arusnya deras," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai juga disaran mengurangkan kelajuan dan menjarakkan kenderaan semasa hujan bagi mengelakkan kemalangan selain segera menghubungi pihak berkuasa jika melihat kejadian berbahaya atau individu yang memerlukan bantuan.
Dalam pada itu, anak Siti Gayah, Shamila Suzie, 48, berkata kejadian berlaku ketika dia bersama ibunya dalam perjalanan ke Kampung Batu 7 untuk menghantar wanita berkenaan ke rumah ahli keluarga lain kerana bimbang kediamannya di Kampung Manal 2 dinaiki air.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta Proton Saga FLX yang saya pandu meredah limpahan air di atas jalan raya. Dalam keadaan gelap dan hanya bergantung pada lampu kereta, saya tidak menyangka arus begitu deras sehingga menyebabkan kereta berpusing dan terheret,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shamila Suzie berkata kereta mereka kemudian tersangkut pada bahagian pembetung sebelum ibunya keluar dan naik atas bonet kenderaan itu.
“Disebabkan arus terlalu deras, kami berpaut pada cermin kereta sambil berpegangan antara satu sama lain sambil menjerit meminta pertolongan, namun tiada orang melalui kawasan itu.
“Semakin lama kami semakin letih. Ibu memberitahu kakinya kejang dan meminta saya tidak melepaskannya, namun pegangan tangan kami tiba-tiba terlucut sebelum ibu dihanyutkan arus deras,” katanya.
Shamila Suzie berkata dia menjerit apabila melihat ibunya hanyut dan ketika masih berpaut pada cermin kereta, jeritannya akhirnya disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial