JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Kedah Rampas Peranti, Cecair Vape Bernilai Lebih RM16 Juta

01/12/2025 12:38 PM

ALOR SETAR, 1 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas  peranti dan cecair rokok elektronik, atau vape, bernilai lebih RM16 juta dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan di Kawasan Industri Padang Besar, Perlis pada 13 Okt lepas.

Pengarah JKDM Kedah Wan Marini Wan Hamzah berkata serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam pada 3 petang itu menemukan 719,250 unit peranti dan cecair vape.

“Pemeriksaan lanjut di dalam gudang itu telah menemukan 211,050 peranti dan 508,200 cecair vape pelbagai jenama. Kesemua barangan itu disyaki tidak berkastam bernilai hampir RM13 juta dengan anggaran duti dan cukai melebihi RM3 juta.

“Siasatan juga mendapati orang yang disyaki, seorang lelaki berusia 40-an, gagal mengemukakan permit import sah daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Kedah hari ini.

Beliau berkata cecair vape merupakan barang kawalan import yang tertakluk di bawah Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan kelulusan KKM sebelum dibawa masuk ke dalam negara.

“Peranti dan cecair vape itu dibuat di China dan dibawa masuk menggunakan jalan udara sebelum barang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum dibawa ke Perlis menggunakan jalan darat.

“Kita masih siasat sama ada barang ini adalah bagi pasaran tempatan atau untuk dieksport ke negara lain pula, selain sedang menyiasat orang-orang yang terlibat termasuk pemilik gudang itu,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Wan Marini berkata pihaknya akan terus mempertingkat pemantauan dan kawalan di semua pintu masuk dan keluar negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan larangan serta berduti tinggi.

“Orang ramai diminta untuk membantu pihak JKDM memerangi penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain-lain serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat,” katanya sambil menambah maklumat boleh disalurkan di talian bebas tol 1800-88-8855. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan