AM

Banjir: Mangsa Di Kelantan Turun Sedikit, Empat Negeri Terus Meningkat

27/11/2025 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di seluruh negara pagi ini tidak menunjukkan perubahan ketara berbanding semalam, dengan jumlah mangsa di Kelantan sedikit berkurangan manakala lima negeri lain iaitu Perlis, Terengganu, Perak, Kedah dan Selangor terus menunjukkan peningkatan.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir sedikit berkurangan kepada 10,950 mangsa daripada 4,111 keluarga pagi ini, berbanding 11,120 orang malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 66 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berikutan banjir yang melanda sembilan jajahan di negeri itu. 

Jajahan yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi ialah Tumpat dengan 4,427 mangsa daripada 1,721 keluarga, diikuti Bachok, 2,047 mangsa (731 keluarga), dan Kota Bharu 2,447 mangsa (936 keluarga) manakala 2,029 mangsa (enam jajahan lain).

Infopublic Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang melepasi tahap bahaya, manakala Sungai Kusial di Kusial Baru, Tanah Merah pada tahap waspada dan Sungai Kelantan di Kuala Krai melepasi tahap amaran.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 7,501 orang dengan penambahan tiga lagi PPS setakat pagi ini, berbanding 6,627 mangsa yang berada di 21 PPS malam tadi.

Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis setakat 8 pagi ini, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 24 PPS melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 3,483 orang daripada 1,131 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 3,233 orang daripada 1,050 keluarga malam tadi.

Berdasarkan InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kemaman menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila lapan mangsa daripada dua keluarga berpindah ke tiga PPS awal pagi tadi.

Sementara itu, berdasarkan laporan publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di Kampung Langkap (F1) dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu melepasi tahap bahaya pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di lapan daerah terus bertambah pagi ini apabila merekodkan 5,620 mangsa daripada 1,746 keluarga yang berlindung di 46 PPS berbanding 5,424 orang daripada 1,686 keluarga malam tadi.

Lapan daerah terjejas ialah Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selama, Muallim dan Batang Padang.

Di KEDAH, jumlah mangsa turut meningkat kepada 4,306 orang daripada 1,453 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 4,142 orang daripada 1,414 keluarga malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena itu ditempatkan di 23 PPS.

Laman web rasmi Public Banjir memaklumkan enam sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Anak Bukit dengan 3.56 meter (m), Sungai Padang Terap di Kepala Batas (4.8m), Sungai Bata (10.984m), Sungai Padang Terap di Pelubang (8.989m), Kampung Padang Pasir (22.306m) dan Sungai Baru (2.089m).

Di SELANGOR, sebanyak 2,460 mangsa daripada 642 keluarga masih berlindung di PPS iaitu sedikit meningkat berbanding 2,359 individu daripada 612 keluarga petang semalam.

Sebanyak 15 PPS masih beroperasi di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Klang. 

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lapan keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan