JENAYAH & MAHKAMAH

Laporan Tahunan JKMR 2024 Dibentang Kepada PM Anwar

01/12/2025 07:34 PM

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKMR) hari ini membentangkan dan menyerahkan Laporan Tahunan JKMR Tahun 2024 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia selaras dengan tanggungjawab mengikut peruntukkan di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), iaitu menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di negara ini.

Pembentangan berkenaan merangkumi penelitian JKMR terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meliputi aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pengurusan serta dapatan pemeriksaan daripada ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah bagi 2024.

"JKMR turut mengemukakan syor-syor kepada Perdana Menteri berkaitan usaha  memperkukuh keberkesanan SPRM secara menyeluruh dan holistik, selaras dengan usaha negara  membanteras rasuah dan memantapkan integriti pentadbiran awam termasuk cadangan  penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah.

"JKMR menzahirkan harapan agar setiap cadangan yang dikemukakan dalam laporan ini diberi  pertimbangan sewajarnya dan diterjemahkan kepada tindakan yang berimpak serta menyeluruh  demi kepentingan negara," menurut JKMR dalam kenyataan hari ini.

Ahli JKMR merangkap wakil rakyat yang mewakili suara masyarakat, sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada orang awam dalam meningkatkan keberkesanan SPRM  melaksanakan mandatnya. 

Orang ramai boleh berbuat sedemikian dengan mengemukakan pandangan atau cadangan melalui  e-mel jkmr@sprm.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan