AM

Banjir Di Lima Negeri Semakin Pulih, Jumlah Mangsa Berkurangan Setakat Malam Ini

01/12/2025 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Terengganu, Selangor, Kelantan, Perak dan Pahang menunjukkan perkembangan positif dengan penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 287 orang daripada 102 keluarga berbanding 511 orang daripada 178 keluarga, petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan 245 mangsa daripada 92 keluarga masih berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol dan SK Rengas Bekah, manakala 42 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di SK Paya Resak, Marang.

Di SELANGOR, turut merekodkan penurunan kepada 1,918 orang daripada 543 keluarga berbanding 2,224 orang daripada 613 keluarga, petang tadi.

Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah PPS yang masih beroperasi turut berkurangan kepada 27 berbanding 29 sebelum ini di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN turut berkurangan kepada 203 orang daripada 82 keluarga malam ini berbanding 353 orang daripada 129 keluarga petang tadi, dengan kesemua mereka berlindung di PPS Pasir Mas.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 3,684 orang daripada 1,090 keluarga yang berlindung di 21 PPS di lima daerah terjejas berbanding 3,837 orang daripada 1,156 keluarga, petang tadi.

Menurut Sekretariat JPBN Perak, daerah Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,786 orang manakala daerah Bagan Datuk (903), Manjung (506), Perak Tengah (464) serta Larut, Matang dan Selama (25).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 200 orang daripada 52 keluarga berbanding 289 orang daripada 79 keluarga pada petang tadi. 

Infobencana JKM memaklumkan 126 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di empat PPS di Bera, manakala 42 mangsa daripada 11 keluarga berada di empat PPS di Temerloh, 25 mangsa daripada enam keluarga di sebuah PPS di Maran dan tujuh mangsa daripada satu keluarga di sebuah PPS di Kuantan.

Sementara itu, di PERLIS, jumlah mangsa meningkat kepada 1,503 orang malam ini berbanding 1,387 orang petang tadi dan ditempatkan di lapan PPS di Padang Besar, Kangar dan Arau, manakala di KEDAH, jumlah mangsa tidak berubah malam ini dengan 219 orang daripada 64 keluarga masih berlindung di dua PPS di daerah Kubang Pasu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan