DUNIA

Bursa Malaysia Dibuka Meningkat Seiring Pemulihan Wall Street

04/12/2025 10:41 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka meningkat hari ini dipacu oleh aktiviti memburu saham berharga rendah dan menjejaki pemulihan semalaman Wall Street berikutan jangkaan pelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.

Pada jam 9.29 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.13 mata kepada 1,622.97 berbanding 1,622.84 pada Rabu.

Indeks petunjuk utama itu dibuka menokok 1.79 mata kepada 1,624.63.

Setimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 284 berbanding 189, sebanyak 363 tidak berubah, 1,889 tidak didagangkan dan tujuh digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 296.71 juta saham bernilai RM168.27 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen pada sesi awal dagangan hari ini dipacu oleh pemulihan Wall Street susulan pengumuman data gaji pekerja sektor swasta AS bagi November yang lemah daripada jangkaan awal.

Ini sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat akan menurunkan kadar faedah pada minggu depan.

Selain itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS juga rendah pada 4.063 peratus.

“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng susut berikutan pengambilan untung selepas kenaikan baru-baru ini. Sentimen juga lebih berhati-hati menjelang petunjuk daripada Rizab Persekutuan, Bank of Japan dan Beijing,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI susut selepas mencatat kenaikan selama dua hari berturut-turut dan ditutup pada paras 1,620 berikutan kelemahan di pasaran serantau.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan peniaga menunggu isyarat lebih jelas daripada AS sebelum membuat sebarang komitmen baharu.

Berikutan itu juga, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,620–1,630, katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Nestle naik 90 sen kepada RM117.50, IHH Healthcare menokok 3.0 sen kepada RM8.30, YTL Power International menambah 2.0 sen kepada RM3.27, Maybank sebaliknya susut 4.0 sen kepada RM10.22 dan MISC tidak berubah pada RM7.50.

Bagi kaunter paling aktif, Tanco naik 1.0 sen kepada RM1.15, Aurelius menokok 2.5 sen kepada 92.5 sen dan Foodie meningkat setengah sen kepada 34.5 sen.

PSP Energy, yang memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, turun setengah sen kepada 15.5 sen dan Kinergy Advancement tidak berubah pada 38.5 sen.

Kaunter paling untung termasuk Hong Leong Financial dan Petronas Dagangan, masing-masing naik 12 sen kepada RM17.86 dan RM20.06, Telekom Malaysia dan PPB Group menokok 10 sen kepada RM7.73 dan RM10.08 manakala Itmax menambah 8.0 sen kepada RM4.62.

Sebaliknya, kaunter paling rugi adalah Malaysian Pacific Industries turun 28 sen kepada RM32.20, United Plantations berkurangan 18 sen kepada RM28.36, Allianz Malaysia merosot 10 sen kepada RM20.40, Ralco Corporation menguncup 6.5 sen kepada 70 sen dan Tenaga Nasional kehilangan 6.0 sen kepada RM12.78.

Di papan indeks pula, Indeks Syariah FBM Emas menambah 24.88 mata kepada 11,841.26, Indeks FBM 100 meraih 8.99 mata kepada 11,794.38, Indeks FBM Mid 70 naik 47.93 mata kepada 16,810.58, Indeks FBM ACE meningkat 7.00 mata kepada 4,817.09 dan Indeks FBM Emas menokok 10.55 mata kepada 12,012.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.07 mata kepada 19,091.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.41 mata kepada 166.45, Indeks Tenaga meningkat 1.88 mata kepada 751.83 dan Indeks Perladangan menguncup 33.66 mata kepada 8,064.41.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan