KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenaan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua ‘airboat’ berkuasa tinggi milik Seri Paduka Baginda sebagai aset operasi menyelamat mangsa banjir.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menzahirkan perkenan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, selain sebagai persediaan agensi keselamatan dalam melaksanakan misi menyelamat jika berlaku gelombang kedua banjir.
“Kedua-dua airboat berkenaan kini ditempatkan di Istana Negara dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan penghantaran bantuan kecemasan,” menurut hantaran berkenaan.
Pada Mac 2023, tiga unit ‘airboat’ milik Seri Paduka Baginda digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa banjir di Johor.
Aset berkenaan turut digunakan untuk menghantar bekalan makanan ke penempatan Orang Asli di kawasan Kluang yang terputus hubungan akibat bencana ketika itu.
Setakat pagi ini, empat negeri masih dilanda banjir iaitu Perak melibatkan 2,690 orang, Selangor (699) orang, Perlis (207) orang dan Pahang (28) orang.
Dalam hantaran berasingan, Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan Seri Paduka Baginda berkenan menerima taklimat mengenai perkembangan semasa Gerup Gerak Khas (GGK) oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jen Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab, di Johor Bahru hari ini.
Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda yang juga Kolonel Komandan GGK dipersembahkan taklimat mengenai Rancangan Perolehan (RP2) di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Turut dibentangkan ialah maklumat mengenai sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas (Fasa Kedua) di Melaka serta perkembangan terkini projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, menurut hantaran berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial