KLUANG, 5 Dis (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki warga tempatan dalam dua serbuan berasingan membabitkan kes curi kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) pada 2 dan 28 Nov lepas, dengan nilai kerugian RM37,300.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata melalui serbuan pertama yang dilakukan di Jalan Bunga Raya, Kampung Melayu Kluang pada 4.30 pagi, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30-an, manakala dua lagi suspek berjaya melarikan diri.
Beliau berkata semasa serbuan tersebut pihaknya merampas sebuah kereta jenis Mazda berwarna hitam, segulung tali berwarna kuning, seunit pemotong kabel panjang 91 sentimeter (cm), dua unit pemotong kabel 78 cm, seunit pemotong kabel 100 cm dan seunit manhole key.
“Turut dirampas tukul, kuku kambing, besi bengkok yang hujungnya ditajamkan, batang besi berbentuk T dan beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kes curi kabel.
“Hasil soal siasat suspek mengaku tidak berjaya mencuri kabel di kawasan Masai selain merancang untuk melakukannya (curi kabel) di Kluang. Siasatan juga mendapati suspek turut aktif mencuri kabel di Temerloh dan Kuantan, Pahang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.
Sementara itu, Bahrin berkata dalam serbuan kedua yang dilakukan di sebuah kebun Pisang di Jalan Kluang-Renggam pada 28 Nov lepas, tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 33 tahun ditahan setelah dipercayai terlibat dalam empat kes kecurian kabel di daerah itu.
Beliau berkata semasa serbuan rampasan barangan seperti satu alat pemotong kulit kabel yang telah diubah suai, satu longgok dawai besi, satu longgok kabel tembaga, dua guni dawai besi dan enam pisau pelbagai saiz telah dilakukan.
“Siasatan polis juga mendapati kumpulan ini berjaya meraih keuntungan sekitar RM10,000 untuk kegiatan yang dilakukan selain suspek turut mengakui aktif mencuri kabel bermula sejak awal tahun.
“Kesemua kabel yang dicuri akan dijual di kedai besi buruk di sekitar Subang dan Kuala Lumpur bagi mengelakkan kegiatan di Kluang dihidu pihak berkuasa. Mereka juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Beliau menambah kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial