AM

Lotus's Malaysia Sumbang RM80,000 Menerusi Misi Bantuan Banjir

11/12/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) tampil membantu mangsa terjejas banjir dengan menyediakan pek penjagaan kebersihan diri bernilai RM80,000 melalui inisiatif Misi Bantuan Banjir Lotus’s 2025.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia Azliza Azmel berkata misi bantuan itu digerakkan lebih awal tanpa menunggu situasi menjadi kritikal, selaras dengan persediaan menghadapi musim banjir yang dijangka lebih besar seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Objektifnya supaya kita bersedia daripada sekarang supaya pek bantuan ini sudah tersedia apabila diperlukan. 

“Hari ini, sebanyak 800 pek dengan kebanyakannya barangan jenama Lotus’s telah dibungkus dengan setiap satu bernilai kira-kira RM100, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM80,000,” katanya pada Misi Bantuan Banjir Lotus’s 2025 di Lotus’s Ara Damansara di sini hari ini.

Bagi memastikan bantuan itu disalurkan dengan teratur dan pantas, Lotus’s Malaysia bekerjasama dengan Malaysia Relief Agency (MRA) dan Global Ehsan Relief Malaysia (GER) yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan berpengalaman luas dalam pengurusan bencana.

Azliza berkata antara barangan dalam kit kebersihan itu ialah sabun cuci, sabun mandi, tuala, berus gigi dan tisu yang dapat memberi manfaat kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), terutamanya di kawasan sering dilanda bencana itu seperti Kelantan, Terengganu dan Johor.

Beliau berkata misi bantuan itu merupakan kesinambungan kepada inisiatif #kitakanjiran dan program bantuan banjir yang dilaksanakan sejak 2021, sekali gus menunjukkan keprihatinan Lotus’s dalam membantu mangsa bencana.

Beliau berkata sebanyak 50 petugas Lotus’s Malaysia digerakkan sebagai sukarelawan bagi menyediakan pek penjagaan kebersihan itu.

Sementara itu, Pengerusi MRA Selangor Sharifah Nor Syed Mohamad berkata kerjasama kali pertama dengan Lotus’s Malaysia itu menunjukkan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat yang amat baik sekali gus memudahkan pihaknya membantu mangsa banjir.

Beliau berkata pek penjagaan kebersihan diri daripada Lotus’s akan diagihkan ke kawasan terjejas, terutamanya di negeri terkesan banjir besar seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Perak.

“Sebelum ini, MRA telah menghantar bantuan ke negeri dilanda banjir namun kami sedar masih banyak lagi bantuan diperlukan. Jadi, kerjasama seperti ini amat kami hargai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan