DUNIA

PM Vietnam, Anwar Bincang Hubungan Dua Hala, Isu Serantau Menerusi Panggilan Telefon

13/12/2025 12:46 AM

HANOI, 12 Dis (Bernama-VNA) -- Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan hubungan dua hala serta isu serantau dan antarabangsa menerusi panggilan telefon pada Jumaat.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), Chinh mengalu-alukan panggilan telefon dengn Anwar itu susulan pertemuan mereka pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) bulan lepas.

Pemimpin Vietnam itu memuji perbincangan telefon berkala mereka yang telah menggalakkan penyelarasan dan perkongsian maklumat secara tepat pada masanya mengenai isu-isu berkepentingan bersama, sekali gus mencerminkan kepercayaan politik yang semakin kukuh antara kedua-dua negara, termasuk antara pemimpin tertinggi, selaras dengan semangat Perkongsian Strategik Komprehensif.

Mengenai hala tuju kerjasama masa depan, kedua-dua pemimpin menyatakan kepuasan terhadap kemajuan positif dalam Perkongsian Strategik Komprehensif Vietnam-Malaysia sejak kebelakangan ini.

Mereka bersetuju untuk segera mengesahkan pelan tindakan 2026-2030 bagi melaksanakan perkongsian tersebut, untuk menetapkan hala tuju khusus bagi setiap tonggak dan meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$20 bilion secara lebih seimbang.

Chinh mencadangkan kedua-dua pihak memperkukuh kerjasama dalam perdagangan beras serta hal ehwal maritim dan lautan, dengan keutamaan diberikan kepada kerjasama minyak dan gas antara Kumpulan Industri - Tenaga Nasional Vietnam (Petrovietnam) dan Kumpulan Petronas Malaysia, selain kerjasama dalam aktiviti perikanan bersama dan usaha memerangi penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).

Menyentuh isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama, kedua-dua pihak menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap ketegangan baru-baru ini antara Kemboja dan Thailand, serta menggesa semua pihak bertenang, mengelakkan penggunaan kekerasan, dan menyelesaikan pertikaian melalui dialog serta secara aman, menurut VNA.

Mereka bersetuju untuk bekerjasama rapat dengan negara ASEAN lain bagi mengukuhkan perpaduan, memelihara peranan kepusatan ASEAN, serta memanfaatkan mekanisme dipacu ASEAN untuk menggalakkan dialog demi menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kerjasama di rantau ini.

Dalam perkembangan berasingan, VNA melaporkan Menteri Luar Vietnam Le Hoai Trung dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengadakan perbualan telefon pada Jumaat bagi membincangkan hubungan dua hala dan isu serantau yang dikongsi bersama.

Kedua-dua menteri menyatakan kepuasan terhadap kemajuan ketara dalam hubungan kedua-dua negara, serta kerjasama erat antara kedua-dua kementerian luar.

Menurut VNA, Mohamad mengesahkan Malaysia akan terus membantu Vietnam dalam membangunkan industri Halal dan memerangi penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).

Trung turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas pencapaian cemerlang sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, sambil memuji kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu serta kemajuan dalam menangani isu serantau.

-- BERNAMA-VNA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan