Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Tiga cabang sukan — gimnastik artistik, karate dan olahraga — menjadi pemangkin kejayaan kontinjen negara pada hari ketiga Sukan SEA 2025 apabila meraih tujuh pingat emas, sekali gus memastikan Malaysia kekal dalam kelompok lima teratas carta keseluruhan.
Di Gimnasium 5, Kampus Rangsit, Universiti Thammasat, dua pingat emas diraih oleh kem gimnastik artistik melalui Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam selepas mempamerkan aksi lantunan penuh gaya pada acara melombol lelaki dengan catatan 13.833 mata.
Debut Yeap Kang Xian juga tidak kurang hebat apabila memukau para juri di acara batang titian wanita untuk meraih emas dengan 13.233 mata, menambah koleksi pingatnya selepas meraih gangsa acara melombol sehari sebelumnya.
Hadir dengan status juara bertahan, ratu karate negara C. Shahmalarani mengekalkan status juara dengan meraih emas buat tiga edisi berturut-turut selepas mengungguli saingan acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana.
Penampilan sulung K. Thevendran pula membawa tuah apabila beliau menjuarai kumite lelaki bawah 55kg dengan kemenangan 4-0 ke atas Chu Van Duc dari Vietnam.
Stadium Suphachalasai menjadi saksi kejayaan Nani Sahirah Maryata apabila meraih emas lontar peluru wanita dengan lontaran kedua sejauh 16.36 meter (m), memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri (15.39m).
Jaguh baling tukul besi, Grace Wong Xiu Mei, mempamerkan dominasi luar biasa apabila memecahkan rekod temasya sebanyak empat kali dalam satu final. Lontaran terbaiknya, 65.41m, turut memperbaharui rekod temasya dan kebangsaan.
Pemain snuker berpengalaman negara, Thor Chuan Leong, melengkapkan hari gemilang Malaysia dengan menghadiahkan pingat ketujuh hari ini, yang juga merupakan pingat emas ke-10 keseluruhan.
Pemain berusia 37 tahun itu melakar kemenangan lima frame menewaskan peserta tuan rumah, Danjirakul Poramin, yang hanya meraih dua frame dalam aksi yang berlangsung di Thunder Dome Muang Thong Thani.
Setakat pukul 10 malam waktu tempatan (11 malam Malaysia), Thailand kekal menerajui carta pingat dengan mengumpul 66 emas, 43 perak dan 28 gangsa, diikuti Vietnam (24,17,43), Indonesia (20,28,24), manakala Malaysia naik satu anak tangga ke posisi keenam (10,13,33).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial