SUKAN

Sukan SEA 2025: "Sumandak" Angie Raih Emas Wai Kru, Atasi Juara Dunia Dari Thailand

17/12/2025 04:22 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 17 Dis (Bernama) -- Atlet Muay Thai negara Angie Yan Jia Chi mencipta sensasi pada penampilan sulung Sukan SEA, apabila memenangi pingat emas acara Wai Kru wanita pada temasya edisi ke-33 itu, di Stadium Tinju Lumpinee di sini, hari ini.

Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (U23) Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) sebanyak tiga kali bermula 2023 itu, mempamerkan persembahan cemerlang untuk mengatasi jaguh tuan rumah yang juga juara dunia Thanawan Thongduang.

Persembahan tersusun dan kemas menyaksikan Angie mengumpul 9.33 mata untuk menundukkan Thanawan, yang juga rakan segurunya selepas hanya mampu mengutip 9.20 mata pada final.

Bercakap kepada media, atlet kelahiran Johor berusia 21 tahun itu berkata beliau amat gembira dan berbangga, selepas segala masa serta keringat yang dicurahkan dalam latihan di bumi Thailand membuahkan hasil dengan kejayaan meraih emas itu.

“Dalam membuat persiapan ke sini saya tidak pulang ke rumah selama setahun, saya habiskan masa dengan berlatih dan menyertai kejohanan di luar.

“Saya sangat lega kerana ia telah tamat, saya tak sabar untuk pulang berjumpa dengan keluarga dan luangkan masa dengan mereka,” kata penuntut Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Kampus Bangkok dalam jurusan Sarjana Pelancongan dan Rekreasi itu ketika ditemui, di sini.

Angie berkata persiapannya ke Sukan SEA turut diuji, apabila beliau bergelut dengan kecederaan pada kedua-dua lutut yang dialaminya sejak 2023.

Beliau berkata demi memastikan beliau terus mengikuti jadual latihan serta pertandingan, Angie terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit.

“Ini disebabkan kesibukan saya tidak sempat untuk menjalani proses pemulihan yang sempurna,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Kejayaan Angie itu menghadiahkan emas pertama buat kem Muay Thai pada edisi kali ini.

Angie, seorang “Sumandak” (gadis dalam bahasa Kadazandusun) mula meminati sukan Muay Thai kira-kira tujuh tahun lepas dan turut meraih pingat emas acara Wai Kru solo wanita pada Kejohanan Asia IFMA di Wilayah Thai Nguyen, Vietnam, awal tahun ini.

Angie yang dilahirkan di Johor hasil perkahwinan ibu berketurunan Sabah dan bapa dari Johor, turut mengharumkan nama Malaysia apabila mewakili negara mempamerkan sukan Muay Thai pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai sebahagian usaha promosi sukan itu pada peringkat global.

Beliau juga mencipta sejarah di Sukan Malaysia (SUKMA) apabila memenangi pingat emas pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, iaitu kali pertama acara tersebut dipertandingkan dalam temasya berkenaan sebelum mempertahankan kejuaraan pada edisi 2024 di Sarawak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan