KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Syafiq @ Ridzuan Ambak, 31, meraih hadiah utama kategori Foto Pelancongan Terbaik pada Majlis Anugerah Seri Iman (ASI) 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini malam ini.
Mohd Syafiq memenangi hadiah itu menerusi karya foto bertajuk "Terengganu Di Mata Nelayan", sekali gus melayakkan beliau membawa pulang piala, wang tunai RM2,000 berserta sijil penghargaan.
Berkongsi kegembiraan, Mohd Syafiq berkata beliau bersyukur kerana hasil kerjanya mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada pihak berkaitan.
Beliau yang pernah memenangi dua pingat perak bagi kategori Kewartawanan Foto Terbaik dan Foto Esei Terbaik pada Anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI) Petronas 2024, Jun lepas berazam untuk terus mengharumkan nama Bernama pada masa akan datang.
"Anugerah ini akan menjadi pencetus motivasi untuk saya terus menghasilkan karya seni melalui fotografi," katanya kepada Bernama selepas majlis anugerah itu.
Hadiah disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Sulaiman Sulong manakala majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris.
Sementara itu, Razali berkata sebanyak 39 hadiah daripada 20 kategori dipertandingkan pada majlis terbabit yang bertujuan mengiktiraf sumbangan pemain industri pelancongan kepada Terengganu.
Beliau berkata pengiktirafan itu diharap menjadi galakan kepada pemain industri supaya sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menampilkan tawaran pelancongan lebih menarik.
"ASI sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu (APKT), yang kali terakhir dianjurkan pada 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19.
"Antara kategori yang dipertandingkan ialah Agensi Pelancongan Tempatan Terbaik, Produk Pelancongan Berinovasi dan Berpotensi, Perkhidmatan Hotel Terbaik, Media Terbaik dan Perkhidmatan Homestay Terbaik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial