AM

Sarawak Suntik RM500 Juta Untuk Peralatan Pusat Kanser - Abang Johari

17/12/2025 07:17 PM

KUCHING, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bersetuju menambah peruntukan RM500 juta bagi pembelian peralatan perubatan untuk pembinaan Pusat Kanser Sarawak, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan projek itu mencecah RM1.5 bilion.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira keperluan mendesak terhadap fasiliti kesihatan khusus bagi rawatan kanser di negeri itu. 

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil tanggungjawab membiayai peralatan hospital demi memastikan kebajikan rakyat Sarawak terus terpelihara.

“Keperluan rawatan kanser semakin meningkat dan kita bayar dahulu kerana semakin ramai yang menghidap kanser, jadi ini perlu kita segerakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di sini hari ini.

Pada 30 Mac 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Bahagian Samarahan.

Menurut Anwar, melalui projek itu, kerajaan Sarawak mencipta sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama yang mendahulukan dana bagi projek Persekutuan bagi mempercepat pelaksanaannya.

Semalam, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata hospital berkenaan disasar untuk siap dibangunkan dan beroperasi menjelang 2031.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan