DUNIA

Sekurang-kurangnya Tujuh Maut Akibat Hujan Lebat Di Sao Paulo, Brazil

18/12/2025 03:59 PM

SAO PAULO, 18 Dis (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala seorang lagi dilaporkan hilang di negeri Sao Paulo, Brazil, susulan hujan lebat dan banjir berterusan yang dicetuskan oleh siklon luar-tropika, menurut pihak Pertahanan Awam pada Rabu, lapor Xinhua.

Insiden terbaharu berlaku di kawasan metropolitan Guarulhos apabila seorang pemandu dilaporkan hilang selepas kenderaannya dihanyutkan arus deras ketika ribut pada Selasa. Anggota bomba meneruskan operasi mencari mangsa pada Rabu.

Pegawai Pertahanan Awam memaklumkan bahawa hujan lebat sejak 10 Dis mengakibatkan kejadian tanah runtuh, pokok tumbang, petir serta beberapa orang dihanyutkan arus banjir.

Dua kematian dilaporkan pada Selasa di pulau Atlantik Ilhabela, apabila seorang lelaki lemas akibat banjir manakala seorang lagi maut selepas dihempap runtuhan tembok.

Kematian turut disahkan di beberapa lokasi lain termasuk bandar Sao Paulo, Campos do Jordao, Guarulhos, Juquitiba, Bauru dan Ilhabela.

Di pesisir utara negeri berkenaan, jumlah hujan yang turun dalam tempoh hanya tiga jam bersamaan dengan purata hujan selama tiga minggu, menurut Pertahanan Awam.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan