AM

Ibu Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Meninggal Dunia

20/12/2025 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Ibu kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa meninggal dunia malam ini pada usia 77 tahun.

Allahyarhamah Halimah Yaacob menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.23 malam di kediaman Zaliha di Putrajaya dan jenazah beliau akan diuruskan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor bagi urusan pengebumian.

Dr Zaliha menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pemergian insan tersayang itu sebagai detik yang amat menyedihkan buat dirinya dan seluruh ahli keluarga.

“Hari duka buat kami sekeluarga. Mak telah pergi buat selama-lamanya pada jam 8.23 malam tadi. Tiada lagi gurau senda dan doa Mak. Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini,” katanya.

Beliau turut memohon doa orang ramai agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh ibunya, mengampunkan segala dosa serta menerima segala amal kebaikan arwah.

“Saya mohon doa daripada semua agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Mak, mengampunkan segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya dan menempatkan Mak dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Dr Zaliha juga berharap agar beliau dan keluarganya dikurniakan ketenangan serta kekuatan untuk menghadapi saat yang sukar ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan