AM

Kejayaan Kontinjen Sukan SEA 2025 Jadi Pemangkin Persiapan Ke Temasya Sukan Lain - PM

22/12/2025 10:28 AM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Pencapaian Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand wajar dijadikan pemangkin bagi memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan lain dan memastikan negara kekal berdaya saing serta disegani di peringkat serantau dan antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih serta pegawai pasukan atas disiplin, pengorbanan dan semangat juang mereka.

“Kejayaan ini adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook. 

Beliau berkata persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan dilaksana secara menyeluruh, terancang serta berwibawa bukan sahaja dari sudut prasarana dan penganjuran tetapi juga dalam membina ekosistem sukan yang mampan selain melahirkan bakat berkelas dunia.

Anwar juga berkata sukan merupakan wadah penyatuan rakyat merentasi kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.

“Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” katanya.

Temasya Sukan SEA 2025, yang melabuhkan tirai secara rasmi Sabtu lepas, menyaksikan Malaysia menduduki tempat keempat selepas mengutip 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa manakala tuan rumah Thailand mengungguli carta dengan 233 emas, 154 perak serta 112 gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan