KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka rendah pada Isnin berikutan pelabur mengambil keuntungan dalam saham wajaran tinggi berikutan prestasi indeks itu yang kukuh baru-baru ini walaupun Wall Street ditutup positif.
Pada Jumaat lepas, FBM KLCI melonjak 1.15 peratus kepada hampir paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan, melepasi paras 1,660.09 mata yang kali terakhir dicatatkan pada 27 Sept 2024.
Pada 9.15 pagi, FBM KLCI merosot 1.96 mata atau 0.11 peratus kepada 1,663.94 daripada 1,665.90 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Indeks dibuka rendah 1.62 mata kepada 1,664.28.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 195 kaunter rugi mengatasi 188 kaunter untung, 353 kaunter tidak berubah, 2,043 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 153.99 juta saham bernilai RM78.74 juta.
Bagaimanapun, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka bursa tempatan berpotensi mencecah paras 1,680 hingga 1,690, sejajar dengan prestasi positif di Amerika Syarikat.
“Selain itu, berdasarkan peningkatan semula Wall Street yang didorong oleh keyakinan baharu terhadap kecerdasan buatan, kami percaya ini boleh membuka peluang peningkatan kepada saham teknologi tempatan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing menambah dua sen kepada RM10.46 dan RM13.38, IHH Healthcare mendatar pada RM8.52, CIMB berkurangan tiga sen kepada RM8.12 dan Public Bank merosot dua sen kepada RM4.50.
Dalam senarai paling aktif, BMS, Zetrix dan Compugates, masing-masing mendatar pada 20 sen, 80.5 sen dan 1.5 sen manakala Dagang Nexchange naik satu sen kepada 30.5 sen. MR DIY merosot dua sen kepada RM1.50.
Kaunter paling untung termasuklah United Plantations meningkat 32 sen kepada RM30.16, Hong Leong Financial dan Hong Leong Industries, masing-masing naik 10 sen kepada RM18.36 dan RM16.60 serta Tan Chong Motor menambah 9.5 sen kepada 67 sen.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, BLD Plantation merosot RM1.14 kepada RM14.90, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 36 sen kepada RM19.64, Petronas Gas menurun 28 sen kepada RM17.80 dan Petronas Dagangan susut 26 sen kepada RM19.46.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 8.80 mata kepada 12,224.28, Indeks FBMT 100 berkurangan 11.01 mata kepada 12,019.74, Indeks FBM Emas Shariah menurun 6.33 mata kepada 12,019.40 dan Indeks FBM 70 susut 1.25 mata kepada 16,811.94 manakala Indeks FBM ACE meningkat 6.37 mata kepada 4,821.25
Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 39.32 mata kepada 8,251.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 24.19 mata kepada 19,537.55 dan Indeks Tenaga menurun 1.28 mata kepada 767.70 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.49 mata kepada 170.88.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial