BUKIT MERTAJAM, 22 Dis (Bernama) -- Empat kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta berhampiran sebuah kompleks makanan di Jalan Song Ban Kheng di sini, musnah dalam kebakaran petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 2.27 petang.
“Kebakaran melibatkan empat kereta iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 dengan masing-masing dianggarkan terbakar 95 peratus manakala dua lagi kenderaan sedan Toyota Camry terbakar 30 dan 15 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata komander operasi dengan pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap membuat penilaian awal seterusnya menjalankan kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran dibantu pasukan bomba sukarela Padang Lalang, Cross Street dan Berapit.
Beliau berkata kebakaran dapat dikawal pada 3.04 petang dan lokasi kemudian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut manakala punca kejadian dan jumlah sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial